KUALA LUMPUR: “Tiada komen.”
Demikian kata pelakon, Fasha Sandha, mengenai penampilannya membuka tudung dalam drama Love Of My Life.
Pelakon berusia 42 tahun itu tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberikan komen mengenai perkara tersebut.
”Tanyalah kepada mana-mana wartawan, saya tidak pernah bagi pandangan mengenai hal tersebut. Jadi, no comment,” katanya ringkas.
Tindakan Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan yang membuka tudung dalam beberapa babak drama tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen tak terkecuali yang ingin memboikot pelakon itu.
“Makin benci aku tengok perempuan yang macam ini, sekejap pakai tudung sekejap bukak tudung. Dosa mati pun nanti setengah-setengahlah kan..boikot terus!” komen netizen.
“On off duit punya pasal,” kata seorang lagi netizen.
Fasha dalam masa yang sama enggan mengambil pusing komen netizen dan menganggap mereka mengambil berat terhadap dirinya.
“Saya tak kisah orang nak menghukum. Saya tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan tentang perkara tersebut. Mungkin mereka ambil berat. Saya hargai.
”Tapi saya tetap berikan jawapan yang sama. Kasihan kepada anda yang bertanya berulang kali. Lebih baik mereka fikirkan isu semasa yang lain berbanding bercakap tentang penampilan saya.
”Apa pun saya bersyukur dan berterima kasih kerana mereka ambil berat pasal saya. Semoga doa yang baik berbalik kepada anda,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu Fasha menafikan tindakan tersebut atas permintaan pengarah atau penerbit drama berkenaan, sebaliknya atas kemahuan sendiri.
”Bukan kehendak penerbit atau pengarah. Saya harus lindungi mereka. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” ujarnya.









