PETALING JAYA: Encorp Berhad (Encorp) optimis memperkukuh pertumbuhan jangka panjang syarikat menerusi pelaksanaan projek secara berdisiplin, kerjasama strategik dan pengurusan modal yang berhemat.
Ia susulan sokongan padu pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-26 hari ini.
Kumpulan pembangunan hartanah itu berkata, tumpuan akan terus diberikan kepada usaha mencipta nilai mampan melalui pengembangan saluran pembangunan, pengukuhan pendapatan berulang daripada portfolio hartanah pelaburan serta penerokaan peluang baharu yang mampu meningkatkan daya saing perniagaan.
“Pada masa sama, Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan kepada pemegang saham, pelanggan, rakan perniagaan, pekerja dan semua pihak berkepentingan atas kepercayaan serta sokongan berterusan dalam memperkukuh kedudukan dan penciptaan nilai jangka panjang syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Encorp memperoleh sokongan penuh pemegang saham apabila semua resolusi yang dibentangkan diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 (AGM Ke-26) hari ini.
Dalam mesyuarat tersebut, pemegang saham menerima Penyata Kewangan Diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 bersama Laporan Pengarah dan Juruaudit.
“Mesyuarat turut meluluskan pembayaran yuran serta faedah kepada Pengarah bagi tempoh sehingga AGM akan datang.
“Pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang bersara mengikut Fasal 99 Perlembagaan Syarikat, selain memilih semula Muhammad Fitri Othman, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan Zaina Diana Zinal yang bersara mengikut Fasal 106 Perlembagaan Syarikat,” katanya.
Selain itu, AGM tersebut meluluskan mandat pemegang saham bagi Urus Niaga Pihak Berkaitan Berulang yang bersifat hasil atau perdagangan.
“Mandat berkenaan membolehkan Encorp dan anak syarikatnya melaksanakan transaksi perniagaan harian yang diperlukan, tertakluk kepada terma komersial biasa serta tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp, Ahmad Harzimi Mohd. Taib berkata, sokongan berterusan pemegang saham mencerminkan keyakinan terhadap amalan tadbir urus, strategi perniagaan dan usaha syarikat memperkukuh asas operasinya.
“Kami kekal memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang berdisiplin merentasi portfolio pembangunan, meningkatkan prestasi hartanah pelaburan dan meneroka kerjasama strategik yang mampu menyokong pertumbuhan masa hadapan. Keutamaan kami adalah membina asas pendapatan yang lebih berdaya tahan sambil mengekalkan tadbir urus korporat yang kukuh,” katanya.
Dari sudut prospek, Encorp akan meneruskan pembangunan Fasa 2 Lamanda Chuping di Perlis serta mempercepatkan perancangan projek Pusat Cockburn di Australia.
Pada masa sama, kumpulan itu berhasrat memperkukuh sumbangan pendapatan berulang melalui pengoptimuman penyewa dan inisiatif penambahbaikan aset di Strand Mall dan Warna Avenue.
Dalam usaha mengembangkan saluran pembangunan dan memperluaskan kerjasama strategik, Encorp baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa rakan kongsi utama.
“Antaranya termasuk kerjasama dengan FELDA bagi melaksanakan reka bentuk dan pembinaan projek perumahan kakitangan, selain MoU bersama KBI Properties Sdn Bhd untuk meneroka peluang pembangunan bersama,” katanya.
Menurut syarikat, kerjasama tersebut dijangka meningkatkan keterlihatan projek, memanfaatkan kepakaran pelengkap kedua-dua pihak serta menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan, tertakluk kepada pemuktamadan perjanjian muktamad.
Sementara itu, Encorp memaklumkan bahawa Ernst & Young PLT telah menyatakan hasrat untuk tidak memohon pelantikan semula sebagai juruaudit syarikat dan bersara sewajarnya.- UTUSAN










