Empat cubaan edar rokok seludup dipatahkan, rampasan lebih RM800,000

Empat cubaan edar rokok seludup dipatahkan, rampasan lebih RM800,000

HASBOLLAH Din (empat dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis rokok seludup yang dirampas pada dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan kegiatan pengedaran rokok seludup menerusi empat operasi di Terengganu dan Kelantan dengan jumlah rampasan termasuk duti dan cukai mencecah RM807,718.

Operasi sepanjang April hingga Mei lalu itu turut melibatkan penyitaan beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan bagi kegiatan penyeludupan berkenaan.

Pengarah JKDM Terengganu, Hasbollah Din berkata, keseluruhan rampasan melibatkan 944,736 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai RM148,552 manakala duti dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM659,165. 

Katanya,  sindiket menggunakan pelbagai taktik sebelum mengedarkan rokok seludup itu ke pasaran tempatan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Rampasan terbesar direkodkan menerusi serbuan di sebuah tapak pembinaan terbiar di Besut pada 20 April lalu apabila pasukan penguatkuasaan menemukan 400,000 batang rokok tidak berkastam dengan nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM321,200,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM Terengganu di sini, hari ini.

Menurut Hasbollah, serbuan di sebuah premis di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Mei lalu pula merampas 334,736 batang rokok putih dan kretek dengan nilai keseluruhan sitaan sebanyak  RM294,898. 

Dalam operasi di Wakaf Bharu, Kelantan pada 25 April lalu, kata beliau, anggotanya menemukan 200,000 batang rokok dipercayai tidak berkastam dengan nilai keseluruhan sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM182,600.

“Rampasan ini selepas pasukan Penguatkuasaan Marin JKDM Terengganu mengesan sebuah kenderaan yang disyaki mengangkut rokok seludup dari tebing Sungai Kelantan sebelum mengekori kenderaan tersebut bagi tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandunya bertindak melarikan diri sehingga merempuh penghadang jalan sebelum meninggalkan kenderaan itu di kawasan Wakaf Bharu,” katanya.

Sementara itu, katanya, dalam satu lagi operasi di Besut pada 16 April lalu, dua lelaki diberkas ketika dipercayai mengedar 10,000 batang rokok tidak berkastam ke sebuah premis perniagaan pada waktu tengah malam dengan nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM9,020.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket menggunakan pelbagai lokasi seperti premis kediaman, kabin di tapak pembinaan terbiar serta kenderaan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum rokok terbabit diedarkan ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN