Emma buru ranking No.1 dunia

Emma buru ranking No.1 dunia

Emma Firyana Saroji
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet boling padang negara, Emma Firyana Saroji kini berada di kedudukan No.2 dunia selepas kemaskini Ranking Siri Boling Padang Dunia.

Emma mengakui perubahan ranking itu memberikan tonik tambahan buatnya menjelang proses pemilihan skuad negara ke temasya Sukan Komanwel 2026.

Walaupun yakin prestasi semasanya meletakkan beliau dalam senarai calon terbaik untuk dipilih, Emma enggan terlalu awal membuat andaian selagi pengumuman rasmi belum dibuat.

“Kalau mengikut prestasi semasa, saya yakin ada peluang untuk ke Sukan Komanwel.Tetapi apa sahaja boleh berlaku pada saat akhir, jadi saya perlu tunggu pengumuman rasmi selepas Terbuka Australia,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Atlet berusia 39 tahun itu juga menegaskan, status terbaharu itu sememangnya menjadi satu pencapaian membanggakan dalam kariernya, namun menganggap ranking dunia sentiasa berubah dan perlu dibuktikan menerusi prestasi konsisten di gelanggang.

“Saya akan cuba mendapatkan kedudukan yang lebih baik. Kalau diberi peluang untuk menjadi pemain No.1 dunia, sudah tentu saya mahu mencapainya,” katanya.

Emma ketika ini sedang beraksi dalam Kejohanan Terbuka Australia , yang turut menawarkan mata ranking dunia dan berpotensi mempengaruhi kedudukannya dalam carta dunia.

Justeru, beliau bertekad menggunakan kejohanan itu sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya selain memburu peluang merampas status pemain No.1 dunia.

“Saya akan berusaha mendapatkan keputusan terbaik di Australia kerana kejohanan ini dikira dalam ranking dunia. Saya mahu memperbaiki kedudukan sedia ada,” ujarnya.

Mengulas mengenai tekanan yang hadir bersama status sebagai pemain No.2 dunia, Emma mengakui perkara itu tidak dapat dielakkan, namun memilih untuk menjadikannya sebagai motivasi tambahan.

“Saya tidak nafikan ada sedikit tekanan. Kalau kata tiada tekanan itu memang tipulah.Tetapi saya ambil perkara itu secara positif.

“Saya hanya mahu melakukan yang terbaik seperti yang saya lakukan tahun lalu dan mengekalkan momentum yang ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN