SUNGAI PETANI: Rakyat diingatkan tidak terperangkap dengan politik kebencian dan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan negara termasuk dalam konteks politik di Johor dan Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan sebenar dalam demokrasi bukanlah mengenai siapa yang menang atau kalah dalam persaingan politik, sebaliknya memastikan nilai keadilan dan kesaksamaan terus dipertahankan.
Menurutnya, tokoh pemikir dan negarawan India, B. R. Ambedkar sering menekankan bahawa tuntutan utama dalam sesebuah masyarakat demokratik adalah keadilan dan kesaksamaan.
“Sekarang ini orang bercakap soal demokrasi bertarung di Johor, Negeri Sembilan. Siapa menang, siapa rebut kuasa, siapa kuat memaki hamun, siapa main api perkauman, siapa menanam kebencian, siapa yang kata kononnya darjat kami majoriti atau kami kaum minoriti
“Tetapi Ambedkar berpesan bahawa perkara yang harus dituntut ialah keadilan dan kesaksamaan kerana melihat bukan sahaja dari segi mata, tapi mata hati atau istilahnya the dictates of the heart,” katanya pada Majlis Serahan Geran Tahunan Kerajaan kepada Universiti AIMST, di sini hari ini.
Anwar berkata, pesanan Ambedkar turut menerapkan nilai kemanusiaan yang perlu menjadi asas dalam kehidupan dan pentadbiran sesebuah negara.
Katanya, seseorang tidak seharusnya dihina hanya kerana warna kulit, kepercayaan agama atau kedudukan sosial yang berbeza.
“Jangan hina orang kerana warna kulitnya, jangan hina orang kerana perbezaan kepercayaannya. Jangan hina orang kerana darjatnya, kamu anak orang besar, bangsawan, dengan orang yang di kampung yang miskin dan pakai pakaian robek,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa naratif politik yang memperguna isu kaum dan kebencian juga bercanggah dengan prinsip kemanusiaan serta nilai demokrasi yang matang.
Katanya, politik yang sihat hanya dapat dibina sekiranya masyarakat mengutamakan nilai kemanusiaan, iaitu sifat empati, hormat dan ihsan dalam membuat pertimbangan, bukannya emosi kebencian atau prejudis.-UTUSAN










