Dulu anti-Islam, kini komited berdakwah

Dulu anti-Islam, kini komited berdakwah

AKTIVITI dakwah membawa Ooi Chooi Beng (kanan) mengembara sehingga ke Kepulauan Riau di Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jika dilihat pada penampilannya yang tenang berbicara tentang Islam dan aktif menyantuni saudara baharu, sukar untuk membayangkan lelaki ini pernah suatu ketika dahulu begitu membenci agama itu sehingga enggan mendengar walau sepatah perkataan mengenainya.

Namun itulah realiti perjalanan hidup Ooi Chooi Beng, 44, seorang pendakwah sepenuh masa yang dahulunya pernah bergelumang dalam dunia gelap sebagai ah long, bookie pertaruhan bola sepak dan pemilik pusat hiburan di Pulau Pinang.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Pulau Pinang ini dilahirkan Buddha sebelum keluarganya menganut Kristian, lantas Islam langsung tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Pengalaman dibuli sejak di bangku sekolah rendah menjadi titik awal kepada lahirnya rasa kebencian mendalam, yang kemudiannya tersasar kepada agama Islam apabila kebanyakan pembulinya terdiri daripada rakan berbangsa Melayu.

“Saya tidak tahu membezakan antara perbuatan manusia dan ajaran Islam sebenar. Apa yang mereka lakukan, saya sangka itu Islam, jadi saya salahkan agama itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akuinya, perasaan itu terbawa-bawa hingga ke sekolah menengah, sekaligus menyebabkannya menutup pintu untuk mengenali Islam secara lebih dekat walaupun berdepan pelbagai keadaan yang boleh membuka hatinya.

Akibat trauma dibuli, beliau mula mencari perlindungan dalam kelompok samseng sebelum sedikit demi sedikit terjerumus ke dalam aktiviti tidak bermoral.

“Masa itu saya rasa dihormati. Saya jadi ah long, main nombor ekor, jadi bookie bola, ada pub sendiri. Wang, kuasa semua ada. Orang kenal saya,” katanya.

Namun, kehidupan mewah dan berpengaruh itu tidak berkekalan apabila beberapa peristiwa mula mengubah arah hidupnya, termasuk perkahwinannya dengan seorang wanita beragama Islam dari Indonesia.

Walaupun berkahwin dengan seorang Muslim, beliau pada awalnya masih mengekalkan sikap menolak Islam. Namun segalanya mula berubah apabila dia mengikuti isterinya pulang ke Indonesia dan bertemu keluarga mentua yang menerima dirinya tanpa prejudis.

“Ketika itu saya sudah bersedia untuk dipukul atau ditolak, tapi keluarga mentua menerima saya dengan baik walaupun mereka tahu siapa saya,” katanya.

Pengalaman itu menjadi detik awal perubahan apabila beliau mula diperkenalkan kepada ibadah solat.

Saat bersujud buat pertama kali, beliau merasai ketenangan yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Perasaan bersujud sangat luar biasa, tidak boleh digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

Sekembalinya ke Malaysia, dia kembali bergelut dengan konflik dalaman dan hampir kembali kepada kehidupan lamanya. Hanya selepas diberi kata dua oleh isteri­nya, beliau nekad berubah secara menyeluruh.

Dia bersama isteri dan anaknya kini aktif menggerakkan Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Pulau Pinang, yang membantu masyarakat termasuk golongan saudara baharu.

“Hidayah itu milik Allah. Saya tidak pernah sangka akan menjadi pendakwah kepada agama yang suatu ketika dahulu saya benci,” katanya.

Beliau berharap kisah penghijrahannya menjadi inspirasi kepada orang lain, khususnya mereka yang masih mencari arah dalam kehidupan dan saudara baharu yang sedang mendalami Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN