PETALING JAYA: “Serius tak sangka langsung.”
Demikian reaksi penyanyi, Zizi Kirana susulan didatangi penghantar makanan yang bertanyakan cara memujuk isteri kepadanya.
Mengaku tergamam dengan reaksi lelaki berkenaan, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mat Tahil sempat bertanyakan asbab sebalik persoalannya tersebut.
“Saya tempah GrabFood tadi. Rider sampai, bagi makanan macam biasa. Dia minta maaf sebab lambat. Saya kata tak apa, okey saja dan terima kasih.
“Saya ingat dia terus beredar, sebaliknya dia berpatah balik dan tiba-tiba bertanya cara nak pujuk isteri.
“Saya terkejut, serius tak sangka. Selepas itu dia cerita kenapa bertanya soalan itu, dia sedang buntu. Engkau orang memang tak akan jangka,” kongsinya di laman Threads.
Coretan zizi itu menarik rakan artis menulis di bahagian komen. Antara Hazwani Helmi yang menunggu sambungan cerita berkenaan.
“Apa ini, cerita separuh jalan. Mana Sambungan, Sudah ‘Invested’ ini,” kongsinya.










