PETALING JAYA: Fenomena El Nino yang dijangka bermula bulan ini berpotensi menjadi kuat dan boleh mencapai tahap ‘Super’ dengan kebarangkalian meningkat sehingga 96 peratus menjelang hujung tahun ini hingga awal tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ramalan terkini daripada Climate Prediction Center (CPC) Amerika Syarikat pada 8 Jun menunjukkan peluang El Nino berlaku mulai bulan ini adalah 82 peratus.
Katanya, kebarangkalian itu dijangka terus meningkat kepada 96 peratus pada hujung tahun ini dan awal 2027, sekali gus menunjukkan fenomena itu hampir pasti berlaku.
“Dengan kebarangkalian yang tinggi ini, El Nino dijangka melanda dunia pada akhir tahun ini sehingga awal tahun hadapan.
“Jika El Nino kali ini mencapai tahap ‘Super’ dan berlarutan lebih enam bulan, Malaysia berkemungkinan berdepan cuaca lebih ekstrem, termasuk cuaca panas dan kering yang lebih ketara bermula Mac tahun depan dan situasi ini pernah dialami negara ketika episod El Nino Super pada tahun 1997/1998 dan 2015/2016,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fenomena El Nino diramal bermula bulan ini dijangkakan meningkatkan risiko kemarau, gelombang haba dan kebakaran hutan.
Sebelum ini, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menerusi CPC menganggarkan kebarangkalian El Nino kali ini mencapai kategori ekstrem sekitar 30 peratus dan dijangkakan meningkatkan risiko kemarau, gelombang haba dan kebakaran hutan.
Menurutnya, cerapan terkini yang dikeluarkan Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat juga menunjukkan peningkatan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik telah pun bermula.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, setiap episod El Nino memberi impak yang berbeza terhadap pola cuaca negara dan rantau ini.
“Kesan paling signifikan terhadap Malaysia ialah pengurangan taburan hujan serta peningkatan suhu maksimum harian, khususnya selepas El Nino mencapai kemuncaknya pada awal tahun depan.
Katanya, berdasarkan ramalan terkini pelbagai model iklim, musim Monsun Barat Daya kali ini dijangka membawa taburan hujan yang lebih rendah berbanding purata di kebanyakan kawasan.
“Keadaan itu dijangka melibatkan bahagian barat dan tengah Sarawak, timur Sabah serta selatan Semenanjung.
“Selain, kejadian gelombang haba yang lebih signifikan berpotensi berlaku terutamanya di utara dan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada penghujung musim Monsun Timur Laut di awal tahun 2027,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Geriatrik, Prof Madya Dr. Hakimah Sallehuddin berkata, orang ramai disaran memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar ketika waktu puncak panas dan memakai pakaian yang sesuai sepanjang masa.
Katanya, El Nino ini berpotensi mencetuskan gelombang haba dan meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan termasuk strok haba, keletihan haba, dehidrasi, kecederaan buah pinggang akut dan kekejangan otot akibat kehilangan garam mineral dalam badan.
“Cuaca panas melampau juga boleh memburukkan penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit pernafasan, selain meningkatkan risiko penyakit bawaan air dan makanan serta denggi,” katanya. – UTUSAN









