PETALING JAYA: Pelakon, Chacha Maembong menegaskan dia tidak mengetahui status terkini mengenai dakwaan hubungan kakaknya, Emma Maembong, yang dikatakan kembali bersama kekasih lama, DJ Kidd.
Chacha atau Siti Aisyah Ismail, 29, berkata, walaupun soalan sama berulang kali ditujukan kepadanya, dia tetap berpendirian bahawa perkara itu bukan untuk dijawab oleh pihak lain selain Emma sendiri.
“Mengenai itu, saya tidak tahu. Saya pun tidak berjumpa Emma lagi. Saya rasa lebih baik tanya tuan badan sendiri.
“Dari awal sampai sekarang semua orang tanya saya pasal Emma. Jadi, saya rasa lebih baik tanya tuan badan sendiri untuk kepastian,” katanya.
Chacha berkongsi mengenai perkara berkenaan ketika dalam sidang media Watch Party drama bersiri Griya, semalam.
Tambah Chacha, dia menjelaskan hubungan mereka adik-beradik masih baik, namun masing-masing kini lebih banyak berhubung secara telefon memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja.
“Bukanlah tidak berhubung. Kami masih berhubung, tapi hanya melalui telefon sahaja. Kalau jumpa pun kami lebih banyak bercakap pasal keluarga.
“Benda lain kami tidak banyak sangat mahu dibincang, bukan semua benda perlu dijadikan gosip pun,” tambahnya.
Dalam pada itu, Chacha berkata, dia sentiasa memdoakan kebahagian dan menyokong pilihan kakaknya itu.
“Saya sebagai adik sentiasa doakan yang terbaik untuk kakak saya. Walaupun hidup ada masa baik dan masa sukarnya, dia tetap kakak saya dan saya sentiasa sokong,” jelasnya.
Terdahulu, tular foto yang memaparkan Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 33, bersama bekas kekasihnya iaitu DJ Kidd.
Pada Mac lalu, DJ Kidd mendedahkan bahawa dia kini tidak mempunyai sebarang hubungan lagi bersama Emma selepas setahun keakraban mereka. -UTUSAN










