Cermin diri, jangan mudah label lelaki sebagai ‘red flag’ - Aweera - Utusan Malaysia

Cermin diri, jangan mudah label lelaki sebagai ‘red flag’ – Aweera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Penyanyi rock, Aweera berpendapat segelintir wanita muda di media sosial dilihat terlalu mudah melabel seseorang lelaki sebagai ‘red flag’ atau toksik hanya kerana tidak memenuhi kriteria dan trend hubungan yang dipengaruhi budaya Barat.

Bagaimanapun, Aweera atau Nasharul Aweera Norhissham, 34, menegaskan kenyataannya yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini bukan ditujukan kepada mana-mana individu, sebaliknya sekadar pandangan umum terhadap sikap segelintir pihak yang gemar menghakimi orang lain.

“Saya tidak mempunyai rasa tidak puas hati terhadap sesiapa dan tidak bercakap mengenai individu tertentu. Ia sekadar pandangan umum dan teguran secara rawak.

“Kadang-kadang generasi berusia 30 tahun ke bawah masih perlu belajar banyak perkara. Ada yang terlalu terikut-ikut dengan budaya Barat yang gemar melabel orang sebagai ‘red flag’ dan menuding jari kepada orang lain.

“Kita perlu melihat diri sendiri terlebih dahulu. Cermin diri sebelum melabel orang lain sebagai ‘red flag’.

“Hari ini, terlalu banyak isu yang akhirnya membawa kepada kecenderungan melabel orang dengan mudah. Persoalannya, adakah kita sendiri begitu sempurna? Itu yang saya maksudkan,” katanya.

Aweera berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran video muzik lagu ‘Gila’ di Astana Putra, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Selamatkan Aku itu berpendapat lelaki dan wanita perlu saling mengenali terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian terhadap seseorang.

“Kenali seseorang itu dengan lebih mendalam terlebih dahulu. Jika selepas mengenalinya terdapat perkara yang tidak baik, barulah kita boleh membuat penilaian.

“Kita semua tidak sempurna dan hanyalah manusia biasa. Lelaki atau perempuan, masing-masing mempunyai kelemahan dan kekurangan tersendiri.

“Berikan masa untuk mengenali antara satu sama lain. Jika seseorang itu tidak lagi mahukan kita, terimalah dengan reda. Tidak perlu memaksa atau merayu kerana soal jodoh sudah ditentukan Allah,” katanya.

Tambah Aweera, setiap individu mempunyai peluang untuk berubah menjadi insan yang lebih baik walaupun pernah melakukan kesilapan pada masa lalu.

“Bagi saya, isu ini bukan soal toksik semata-mata, tetapi kadangkala mencerminkan tahap kematangan seseorang dalam berfikir.

“Kita semua manusia biasa dan sentiasa berpeluang untuk berubah. Hari ini seseorang mungkin melakukan kesilapan, tetapi tidak mustahil dia menjadi lebih baik pada masa hadapan.

“Semuanya lahir daripada jiwa. Mulut boleh berkata apa sahaja, namun hati dan jiwa seseorang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan penampilan luaran,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN