PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Ogos ini untuk pendengaran permohonan Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) untuk menjadi pencelah dalam permohonan petisyen pemula yang difailkan oleh kerajaan Negeri Sarawak berhubung operasi carigali minyak di negeri berkenaan.
Pada tarikh sama, Mahkamah Persekutuan juga mendengar bantahan oleh syarikat carigali, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terhadap permohonan tersebut.
Berdasarkan nota yang ditulis pada senarai kausa kes itu ketika semakan terhadap sistem pendaftaran kehadiran dan panggilan kes dalam mahkamah, Sistem e-Filing (eFS), pihak-pihak terlibat perlu memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 22 Jun ini manakala afidavit balasan perlu difailkan sebelum atau pada 6 Julai ini.
“Hujahan balas (jika ada) hendaklah difailkan sebelum atau pada 13 Ogos ini. Pengurusan kes secara e-review bagi Kandungan 23 (permohonan mencelah) ditetapkan pada 14 Ogos 2026, pukul 9 pagi.
“Bagi pendengaran Kandungan 23, arahan Mahkamah adalah tarikh pendengaran ditetapkan pada 28 Ogos 2026, pukul 9 pagi secara kehadiran fizikal,”ujar nota yang ditulis pada senarai kausa itu.
Nota pada senarai kausa itu juga menyatakan bahawa petisyen pemula oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan permohonan oleh Petronas agar pendengaran petisyen oleh kerajaan Negeri Kenyalang itu dan syarikat carigali itu didengar secara berasingan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 16 Jun ini.
Tarikh tersebut ditetapkan dalam pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Azaraorni Abd. Rahman, semalam.
SABAR memohon untuk menjadi pencelah dalam petisyen tersebut atas alasan persoalan undang-undang yang ditimbulkan mempunyai kaitan dengan saman pemula mereka berhubung isu serupa yang masih belum didengar di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu.
Antaranya berkaitan dengan kesahan dan pemakaian berterusan Akta Pelantar Benua 1966 serta Akta Perlombongan Petroleum 1966 di Sabah serta kesahan dan penguatkuasaan berterusan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 bagi kawasan daratan dan luar pesisir selepas 19 Jun 2012.
Kerajaan Sarawak dalam petisyen pemulanya mendakwa bahawa negeri itu mempunyai kuasa eksklusif untuk menggubal undang-undang berkaitan tanah di negeri itu di bawah Perkara 2, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, termasuk permit dan lesen untuk carigali lombong, pajakan perlombongan serta sijil berkaitan.
Kerajaan negeri itu menyatakan Parlimen menggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) tanpa sebarang persetujuan daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 76(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
PDA bertujuan meletakkan hak milik petroleum yang dianggap sebahagian daripada tanah Sarawak kepada Petronas melalui suatu perintah pemindahan hak (vesting order) yang dimasukkan dalam Jadual Akta tersebut.
Menurut Sarawak, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan perintah pemindahan hak dan hanya Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan permit dan lesen carigali, pajakan perlombongan atau sijil bagi perlombongan sumber mineral seperti petroleum yang merupakan suatu kepentingan dalam tanah.
Selain itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2021 yang mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah memberikan asas perundangan yang lebih kukuh kepada Sarawak untuk menuntut semula kuasanya ke atas sumber asli negeri itu.
MA63 merupakan dokumen penting yang menetapkan syarat-syarat penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu serta Singapura pada tahun 1963 bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) pula memperincikan syarat dan perlindungan yang menjadi asas kepada peruntukan dalam MA63, yang memberikan tahap autonomi tertentu kepada Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Pada 10 Januari lalu, Petronas telah memfailkan notis usul untuk memulakan prosiding bagi mencabar keabsahan beberapa undang-undang yang digubal oleh negeri itu berkait dengan operasinya di Sarawak.
Petronas antara lain memohon pengisytiharan sama ada Badan Perundangan Negeri Sarawak telah bertindak melangkaui atau di luar kuasa perundangannya apabila menggubal, mengubah, meminda, menyemak atau sebaliknya (ketika) membuat undang-undang tersebut.
Mereka juga memohon pengisytiharan sama ada Badan Perundangan Negeri Sarawak telah bertindak melangkaui atau di luar kuasa perundangannya apabila menggubal, mengubah, meminda atau menyemak undang-undang tersebut berkait dengan takrifan ‘and’, ‘State land’, ‘onshore or offshore’, ‘onshore land and offshore land’, dan ‘territory of the State’ termasuk ‘Continental Shelf’.
Selain itu, Petronas juga secara alternatif memohon sama ada Badan Perundangan Negeri Sarawak telah bertindak melangkaui kuasanya apabila mentakrifkan ‘territory of the State’ termasuk kawasan seperti yang ditakrifkan oleh Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954 untuk merangkumi pelantar benua.
Pada 16 Mac lalu, Petronas telah memperoleh kebenaran untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak selepas syarikat carigali tersebut berjaya memenuhi ambang dalam mendapatkan kebenaran termaktub dalam Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN







