LUMUT: Lima lelaki warga Indonesia yang merupakan antara 23 mangsa terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Pangkor bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Manjung di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 18 migran.
Tertuduh, Nanda, 42, yang merupakan tekong bot bersama pembantunya, M. Kahfi Kamil, 21, serta Suyanto, 25, yang bertindak sebagai penjaga enjin dihadapkan ke mahkamah bersama dua tukang masak, M. Yunus, 44, dan Riadi Slamat, 43.
Kesemua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh memandangkan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menjalankan aktiviti penyeludupan 18 migran warga Indonesia di kedudukan latitud 04°10.299 (U) dan longitud 100°29.321 (T), iaitu kira-kira 3.1 batu nautika dari Pulau Pangkor pada pukul 6 pagi, 11 Mei 2026.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin, tidak mencadangkan jaminan terhadap semua tertuduh kerana kes tersebut tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang tidak membenarkan jaminan.
Beliau turut memaklumkan bahawa 18 migran yang diseludup masuk ke negara ini telah didakwa di Mahkamah Majistret Manjung pada 22 Mei lalu dan kes mereka ditetapkan untuk sebutan semula bagi kehadiran jurubahasa pada 15 Jun depan.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes kelima-lima tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah bot yang membawa 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor, mengakibatkan 16 daripada mereka dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) kemudian diaktifkan dan dalam tempoh enam hari, kesemua mangsa yang dilaporkan hilang berjaya ditemui sebelum disahkan meninggal dunia.
Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita. – UTUSAN










