PETALING JAYA: Sikap melebihkan kepentingan kelompok berbanding penyatuan ummah menjadi antara punca Pas menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, jika Pas terus bersama Bersatu, ia hanya menjaga kepentingan kelompok tertentu dan bukannya kepentingan ummah.
Katanya, Bersatu tidak menerima kemasukan parti-parti lain ke dalam Perikatan Nasional (PN) sedangkan Pas berpendirian, menerima kemasukan parti lain dapat memenuhi jalan untuk penyatuan ummah.
“Jalan inilah yang dihalang oleh Bersatu. Terlihat jelas, kepentingan kelompok, lebih mereka utamakan berbanding kepentingan ummah. Sikap dan gelagat Bersatu dalam banyak kemelut politik sebelum ini memperlihatkan mereka lebih utamakan kepentingan kelompok tertentu.
“Pas berfikir panjang, bermesyuarat banyak kali. Jika jalan untuk penyatuan ini dihalang, Pas tiada pilihan lain melainkan menghentikan kerjasama dengan pihak yang menghalang jalan penyatuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Afnan Hamimi berkata, oleh kerana jalan sedia ada tidak mampu sampai kepada matlamat penyatuan, maka Pas perlu meneroka alternatif lain, namun destinasinya tetap sama iaitu penyatuan ummah.
Jelasnya, penyatuan adalah asas kekuatan untuk melawan dan menentang segala kerosakan yang sedang dan telah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH), sejak berkuasa.
“Sikap yang sama Pas ambil ketika bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini. DAP menghalang jalan melaksanakan syariat di Kelantan dan Terengganu. Maka, dengan tegas Pas buat keputusan batalkan kerjasama dengan DAP.
“Penyatuan ummah pernah berjaya ketika Pas bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). Walaupun MN hanya sekerat jalan, namun jalan penyatuan itu diteruskan oleh Pas dalam PN.
“PN adalah jalan lain, namun agendanya sama, penyatuan ummah,” katanya.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, walaupun jalan diambil Pas lebih mencabar, namun ia tidak akan menghalang agenda utama parti iaitu penyatuan ummah dan itulah yang membezakan cara berpolitik Pas dengan parti lain.
“Parti lain berpolitik hanya untuk kepentingan kelompoknya semata. Berapa kerusi dia dapat, apa jawatan ditawarkan. Semuanya berkisar kepada apa habuan diri masing-masing dan apa nak buat untuk terus kekal dapat habuan. Setakat itu sahaja.
“Pas berpolitik melihat kepada untung rugi Islam dan Melayu. Jika untung Islam, manfaat pada Melayu (sebagai kaum majoriti), maka Pas akan pergi ke situ, walaupun jalan itu mungkin lebih jauh penuh berduri,” katanya. – UTUSAN










