Beri geran khas kepada pengasuh di rumah, permudah pendaftaran - Utusan Malaysia

Beri geran khas kepada pengasuh di rumah, permudah pendaftaran

BANTUAN kerajaan boleh meliputi kos mendapatkan sijil pentauliahan atau pengesahan daripada pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta menyediakan geran khas bagi membantu penga­suh di rumah beroperasi secara sah termasuk menanggung kos pendaftaran, latihan dan pematuhan syarat.

Presiden Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia, Siti Nur Farhana Miskom berkata, geran dan subsidi amat pen­ting memandangkan keba­nyakan pengasuh di rumah menyediakan perkhidmatan asuhan dengan modal terhad.

Katanya, kos pendaftaran dan latihan yang tinggi serta prosedur rumit menyebabkan mereka terbeban dan tidak berminat untuk beroperasi secara rasmi.

“Jika kos pendaftaran, latihan dan pematuhan syarat terlalu tinggi, ia memang boleh menjadi beban kepada pe­ngasuh kecil-kecilan.

“Proses itu perlu dipermudah dan kosnya hendaklah lebih berpatutan supaya lebih ramai pengasuh boleh mendaftar dan memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, semua pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di negara ini perlu memastikan pengoperasian adalah secara sah dan berdaftar.

Kegagalan mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan me­lalui penguatkuasaan tegas termasuk penutupan premis atau pe­nyitaan serta-merta.

Langkah itu dibuat melalui Pasukan Petugas Khas Tindakan Penguatkuasaan Pemutihan ke atas Pusat Jagaan dan Taska Tidak Berdaftar di seluruh negara termasuk pengusaha taska di rumah.

Siti Nur Farhana berkata, bantuan kerajaan boleh meliputi kos mendapatkan sijil pentauliahan atau pengesahan daripada pihak berkuasa.

Katanya, kursus asas penjagaan kanak-kanak juga perlu disediakan bagi meningkatkan pengetahuan pengasuh dalam aspek keselamatan, kesihatan dan pengurusan kanak-kanak.

“Apabila pengasuh mempunyai latihan dan sijil yang diiktiraf, keselamatan kanak-kanak lebih terjamin. Pada masa sama, suri rumah boleh menjana pendapatan secara sah tanpa berasa terlalu terbeban,” katanya.

Siti Nur Farhana berkata, per­khidmatan pengasuhan di rumah telah membuka peluang kepada suri rumah menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan kediaman dan dalam masa sama dapat menjaga anak sendiri.

Beliau berkata, perkhidmatan itu juga mengurangkan beban ibu bapa bekerja kerana menawarkan pilihan penjagaan kanak-kanak yang lebih dekat, fleksibel dan selamat.

Katanya, usaha itu turut me­ngukuhkan hubungan komuniti apabila suri rumah boleh saling membantu dan turut menyumbang dalam ekonomi keluarga.

“Pengasuh suri rumah juga boleh dihubungkan dengan ibu bapa menerusi aplikasi atau kerjasama dengan platform penjagaan kanak-kanak sedia ada.

“Inisiatif seperti itu boleh meningkatkan keyakinan suri rumah bahawa kemahiran mereka mempunyai nilai dan boleh dijadikan sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, pengasuh di rumah, Zuraidah Abdul Sani, 59, berkata, dia bersetuju perkhidmatan pengasuhan perlu didaftarkan bagi memastikan operasi lebih teratur dan mudah dipantau.

Bagaimanapun, katanya, pro­­ses pendaftaran perlu dipermu­dah kerana bukan semua pe­ngasuh mempunyai pendidikan tinggi atau memahami prosedur rasmi yang rumit.

“Pengasuh seperti kami tidak mempunyai masalah untuk mendaftar atau mendapatkan lesen tetapi urusannya perlu dipermudah dan dibuat lebih mesra kepada pengasuh.

“Pemberian subsidi juga dapat meringankan beban, khu­sus­­nya bagi pengasuh yang men­­jalankan perkhidmatan se­ca­ra kecil-kecilan di rumah,” ka­ta­­nya.

Zuraidah berkata, satu sistem pembayaran yang lebih teratur juga perlu diwujudkan supaya setiap bayaran daripada ibu bapa direkodkan dan boleh dipantau.

Menurutnya, sistem sedemikian dapat melindungi pe­ngasuh daripada masalah ibu bapa gagal membayar atau upah dikurangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×