Berhenti menangis bila dengar muzik, Qi Razali cipta lagu khas buat anak - Utusan Malaysia

Berhenti menangis bila dengar muzik, Qi Razali cipta lagu khas buat anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Qi Razali, mengakui anugerah bergelar bapa membawa makna yang sangat besar dalam hidupnya sehingga memberi inspirasi untuk menghasilkan sebuah lagu khas buat puteri sulungnya, Anggung Sumayyah.

Menurut Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali, 49, lagu berjudul Yang Pertama itu tercetus secara spontan ketika meluangkan masa menjaga Anggung yang kini berusia lima tahun.

“Saya pasang piring hitam dan menari dengan dia. Kalau dia menangis pun, bila dengar muzik, dia akan berhenti menangis. Saya juga selalu bermain gitar untuk dia.

“Daripada situlah lahirnya idea untuk menghasilkan lagu khas ini. Cuma lagu itu masih belum siap sepenuhnya dan bertajuk Yang Pertama.

“Saya hasilkan lagu ini ketika menjaga dia. Kadang-kadang ketika dia bersama ibunya atau sewaktu saya bekerja, saya akan buka iPhone sambil memerhatikan dia.

“Saya rakam momen-momen yang berlaku sejak dia lahir dan semua itu saya mahu abadikan dalam lagu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi media Kisah Bawah Tanah di REXKL, di sini, baru-baru ini.

Lebih istimewa, Qi turut memasukkan rakaman suara tangisan anaknya ke dalam lagu tersebut, sekali gus menjadikan karya itu lebih dekat dengan kehidupannya sebagai seorang bapa.

“Ada suara tangisan dia dimasukkan dalam lagu itu. Bila saya perdengarkan kepada isteri, dia pun sebak. Jadi saya rasa lagu ini menjadi.

“Insya-Allah, mungkin saya akan lancarkan lagu ini pada Ogos nanti sempena hari lahir saya,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai rutin sebagai seorang bapa, pelakon Babah itu mengakui perasaan yang hadir setiap kali bersama anaknya sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Hidup saya berubah 360 darjah. Saya tak sangka perkara ini akan berlaku dalam hidup saya. Pada awal usia 40-an, saya sudah reda dan fikir mungkin perkahwinan atau anak bukan untuk saya.

“Tetapi apabila Anggung hadir, dia memberikan makna baharu dalam hidup saya. Sekarang setiap perkara yang saya lakukan, saya fikirkan tentang dia.

“Namun, isteri saya tetap nombor satu. Cuma apabila sudah ada anak, timbul satu perasaan yang sukar untuk diluahkan.

“Memang seronok jadi ayah. Seronok apabila dapat mendukung dia, melihat dia membesar dan tersenyum kepada kita. Kemudian dia memandang kita semula. Perasaan itu memang sukar digambarkan,” katanya.

Untuk rekod, Qi mendirikan rumah tangga dengan Wardah Hayati pada 25 Mei 2025. Mereka dikurniakan cahaya mata pertama pada 23 Januari lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN