Bekas OCPD Temerloh diperintah bela diri 46 pertuduhan rasuah

Bekas OCPD Temerloh diperintah bela diri 46 pertuduhan rasuah

MOHAMAD Fadhly Mohd. Zamry (dua kiri) ketika ditemui wartawan di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 yang didakwa dilakukan antara 2019 hingga 2023.

Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua 46 pertuduhan utama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya, beliau turut memutuskan bahawa kesemua 46 pertuduhan utama dan 46 pertuduhan pilihan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah teratur dan sah serta tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Prosedur Jenayah atau Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pertuduhan itu dikemukakan selaras dengan Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang ditetapkan mengikut Seksyen 3 akta berkenaan.

“Mahkamah juga memutuskan bahawa peruntukan anggapan di bawah Seksyen 53 Akta SPRM adalah terpakai terhadap orang kena tuduh (OKT). Oleh itu, mahkamah memerintahkan OKT dipanggil membela diri bagi kesemua 46 pertuduhan utama untuk menyangkal anggapan terhadap pertuduhan yang dikenakan,” katanya.

Mahkamah kemudian menerangkan tiga pilihan kepada tertuduh iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan boleh diperiksa balas, memberi keterangan dari kandang tertuduh tanpa boleh diperiksa balas atau berdiam diri.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos ini bagi sambung bicara kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan Ifa Sirrhu Samsudin,manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S. Arumugam dan M. Athimulan.

Tiga tahun lalu, Mohd. Azhar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan terhadap 46 pertuduhan menerima rasuah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan serta 46 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai antara RM100 hingga RM5,600 tanpa balasan daripada beberapa individu dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaunnya ketika bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh antara Mac 2019 hingga Januari 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN