Bekas bouncer pukul remaja sampai buta dipenjara 5 tahun

Bekas bouncer pukul remaja sampai buta dipenjara 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pengawal keselamatan kelab malam (bouncer) dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah mencederakan seorang remaja sehingga buta sebelah mata, 10 tahun lalu.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Jamsari Idris, 53, bersalah menyebabkan kecederaan kekal iaitu buta mata kanan terhadap Muhammad Ramdhan Aidil Norsham, 28.

“Setelah mempertimbangkan rayuan dan hujahan pemberat, juga kenyataan impak mangsa, mahkamah ini menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh lima tahun penjara dari tarikh sabitan iaitu pada tarikh hari ini,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Jamsari dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas Muhammad Ramdhan; yang ketika kejadian berumur 18 tahun di sebuah pusat hiburan di Dang Wangi di sini pada pukul 3.30 pagi, 6 November 2016.

Pendakwaan dikemukakan dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Difahamkan, tertuduh pernah didakwa atas pertuduhan tersebut pada 2019 namun dikatakan telah melarikan diri sebelum ditahan dan dihadapkan semula ke mahkamah pada 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur, memohon agar tertuduh diberikan hukuman berat mengambil kira tahap kecederaan fizikal yang dialami mangsa dan kepentingan awam.

“Kecederaan fizikal yang dialami oleh mangsa dalam kes ini amat serius. Mangsa telah buta seumur hidup dan ini telah menjejaskan kualiti kehidupan.

“Pihak pendakwaan juga memohon agar mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini. Di mana pihak pendakwaan berharap agar dapat menghantar mesej kepada orang awam bahawa mahkamah mengambil serius terhadap kesalahan-kesalahan sebegini, di mana jenayah berkaitan dengan keganasan tidak akan diambil ringan,” katanya.

Jamsari diwakili peguam bela, Shah Rizal Abdul Manan kemudian memohon mahkamah mempertimbangkan penangguhan hukuman atas alasan tertuduh perlu menjaga ayahnya yang sakit, bagaimanapun ditolak.

Sementara itu, Muhammad Ramdhan ketika membacakan kenyataan impak mangsa (VIS) memberitahu selepas dicederakan, dia mengalami kemalangan dan rentetan kemalangan itu dia telah kehilangan pekerjaan.

Tambahnya, selepas pulih dari kemalangan itu, dia telah cuba mendapatkan pekerjaan baharu dan telah membuat permohonan selama 12 kali namun tidak berjaya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN