PETALING JAYA: Entiti Bega Group di Malaysia (Berri Asia Sdn. Bhd.) secara rasmi meluncurkan rangkaian produk baharu, Bega Shredded Cheese bagi memenuhi permintaan yang semakin dinamik dalam sektor runcit dan perkhidmatan makanan tempatan.
Pelancaran eksklusif yang berlangsung di Botanica+Co, Bamboo Hills itu menyaksikan pengenalan tiga variasi keju parut baharu iaitu Mozzarella, Cheddar dan Cheese Melt.
Dihasilkan di Malaysia menggunakan keju berkualiti tinggi yang diimport dari New Zealand serta negara-negara Eropah, rangkaian produk ini diperakui Halal, sesuai untuk vegetarian dan menawarkan prestasi pencairan serta regangan yang konsisten.
Pengurus Besar Jualan Asia Tenggara Bega Group, Samantha Loke berkata, pengenalan rangkaian Bega Shredded Cheese ini menjadi platform terbaik untuk syarikat berhubung dengan profesional kulinari dan pengguna menerusi penawaran bahan premium yang versatil.
“Kami teruja untuk menunjukkan bagaimana bahan berkualiti mampu mencetuskan kreativiti, konsistensi dan inovasi dalam penyediaan makanan,” katanya dalam kenyataan.
Acara pelancaran itu turut diserikan dengan demonstrasi masakan secara langsung oleh Presiden Persatuan Culinaire Profesional (Malaysia) bagi mempamerkan fungsi serta potensi kulinari keju berkenaan dalam pelbagai jenis hidangan.
Turut menjadi kemuncak utama majlis adalah penyerahan pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records atas kejayaan menghasilkan ‘Largest Oven Baked Cheese Melt Sandwich Formation’.
Pencapaian memecahkan rekod yang memakan masa lebih lima jam itu dijayakan menerusi kerjasama erat bersama Silent Teddies, sebuah perusahaan sosial yang memperkasa komuniti pekak dan kurang pendengaran.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif khidmat komuniti dan usaha mengurangkan pembaziran makanan, kesemua sandwic daripada pembentukan rekod tersebut telah diagihkan kepada pelbagai organisasi kebajikan melalui Silent Teddies.
Sementara itu, Pengarah Urusan Lucky Frozen, See Quin Seng berkata, sambutan hangat yang diterima mengukuhkan lagi bukti bahawa pasaran domestik kini amat memerlukan penyelesaian produk keju yang mudah digunakan serta mampu memberikan pengalaman kulinari luar biasa.
“Berbekalkan warisan industri tenusu Australia yang melebihi satu abad, Bega Group komited memperkukuh kehadirannya di Asia Tenggara dengan meletakkan Malaysia sebagai pasaran penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsanya,” katanya.
Rangkaian Bega Shredded Cheese kini boleh didapati melalui peruncit terpilih dan saluran perkhidmatan makanan di seluruh negara. –UTUSAN










