Batal kontrak NSM: Malaysia mahu Norway jadi pengantara

Batal kontrak NSM: Malaysia mahu Norway jadi pengantara

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Luar telah menghantar notis serta surat rasmi kepada kerajaan Norway bagi memaklumkan pendirian Malaysia berhubung  pembatalan perolehan misil anti kapal (NSM) dibangunkan syarikat negara itu, Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu  bertujuan memastikan Norway memainkan peranan sebagai pengantara untuk sebarang tindakan yang akan diambil oleh kerajaan terhadap syarikat pembekal berkenaan.

“Kita memang bersedia untuk menyelesaikan perkara ini malah turut bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Sebab itu sejak awal lagi kita telah menghantar notis dan sebagainya.

“Saya percaya Kementerian Luar juga sudah menghantar surat kepada Kerajaan Norway supaya sekurang-kurangnya mereka dapat memainkan peranan sebagai pengantara antara kita dengan syarikat mereka agar syarikat itu dapat membayar tuntutan yang telah kita kemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Strategik Pertahanan Negara (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Ketenteraan (RTKP) 2026-2030 di sini hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menzahirkan kegusaran serius berhubung tindakan kerajaan Norway menarik balik serta membatalkan lesen eksport NSM yang diperuntukkan bagi projek LCS.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, ini memandangkan kerajaan telah menjelaskan bayaran mencecah 95 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan.

Mengulas penyerahan LCS kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

“Kita berjanji membuat penyerahan mengikut tempoh ditetapkan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sudah pergi dan beliau akan membuat penjelasan tidak lama lagi. 

“Jadi kita tunggu apa yang akan dibentangkan beliau hasil daripada pertemuan itu,” katanya.

Mei lalu, Mohamed Khaled menegaskan Malaysia tetap meneruskan tindakan saman ke atas pembekal NSM berpangkalan di Norway berikutan kegagalan syarikat itu menghantar aset pertahanan berkenaan susulan pembatalan lesen eksport oleh kerajaan negara terbabit.

Katanya, tindakan itu diteruskan biarpun rakan sejawatannya dari Norway, Tore O Sandvik sebelum ini menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negaranya membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara berkenaan.

NSM adalah peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer (km). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN