PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mempertahankan tindakan penguatkuasaan menamatkan operasi sebuah syarikat pengendali bas ekspres di ibu negara.
APAD dalam satu kenyataan berkata, syarikat berkenaan diberikan tempoh hampir lima bulan untuk mendapatkan terminal yang mempunyai lesen sah bagi meneruskan operasi, namun gagal berbuat demikian.
Katanya, syarikat berkenaan ‘terus enggan’ berpindah ke terminal atau hab pengangkutan yang diluluskan walaupun diberikan masa mencukupi untuk mematuhi peraturan.
“Pertikaian itu bermula tahun lepas apabila syarikat berkenaan diminta menghentikan penggunaan lokasi yang tidak berlesen dan berpindah ke terminal bas yang mempunyai lesen.
“Moratorium penguatkuasaan sementara diberikan selepas Hotel Corus KLCC, yang menjadi lokasi penumpang bagi syarikat itu, menamatkan perjanjiannya dengan pengendali berkenaan pada Januari lalu susulan pengambilalihan tapak tersebut untuk pembangunan semula.
“Bagaimanapun, selepas hampir lima bulan, pengendali itu masih enggan berpindah ke mana-mana terminal atau hab pengangkutan berlesen,” katanya, hari ini.
Menurut APAD, tempoh peralihan yang diberikan mencukupi untuk pengendali mengenal pasti dan berpindah ke terminal atau hab pengangkutan yang berlesen.
“Memandangkan pengendali itu masih gagal mengambil sebarang langkah untuk mematuhi peraturan, Apad mengeluarkan arahan penguatkuasaan pada Mei 2026 bagi memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang.” jelasnya.
Walaupun APAD tidak menamakan pengendali tersebut, pengendali bas ekspres Aeroline sebelum ini mengumumkan penamatan operasinya di Kuala Lumpur.
Menerusi satu hantaran di Facebook, syarikat itu memaklumkan Kuala Lumpur tidak lagi menjadi lokasi menaik dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan bas kendaliannya.
Menurut Aeroline, pihaknya menerima arahan tegas pada 13 Mei lalu yang menetapkan syarikat itu hanya dibenarkan beroperasi dari terminal berlesen iaitu di 1 Utama, LaLaport dan IOI City Mall.
Aeroline berkata, arahan tersebut mewujudkan situasi yang sukar bagi penumpangnya di Kuala Lumpur. – UTUSAN










