PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Jepun bermula esok hingga 10 Jun ini, atas jemputan kerajaan Jepun.
Kementerian Luar menerusi kenyataan memaklumkan Perdana Menteri akan diberikan majlis sambutan rasmi, diikuti pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.
“Pertemuan tersebut akan memberikan peluang penting bagi kedua-dua pemimpin untuk menyemak kemajuan hubungan dua hala dan merangka hala tuju baharu bagi kerjasama masa depan, susulan peningkatan bersejarah hubungan Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember, 2023.
“Bidang perbincangan utama dijangka merangkumi teknologi hijau, daya tahan dan peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serantau serta kerjasama pendidikan tinggi.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” kata kenyataan itu.
Semasa lawatan tiga hari itu, Anwar dijadualkan menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo dan ucapan dasar di Forum Nikkei ke-31: Masa Depan Asia, menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dan memupuk dialog dengan Jepun dan rantau yang lebih luas.
Beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong dan pegawai kanan kerajaan.-UTUSAN










