Allianz Malaysia kekal optimis hadapi cabaran ekonomi global

Allianz Malaysia kekal optimis hadapi cabaran ekonomi global

SEAN Wong (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Giulio Slavich (dua dari kanan) dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-52 Allianz Malaysia Berhad di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Bhd. mengekalkan prospek positif bagi 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, tekanan inflasi serta risiko gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, prestasi kukuh pada suku pertama tahun ini membuktikan kumpulan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran kewangan yang ditetapkan.

Katanya, kedua-dua segmen insurans am dan insurans hayat mencatatkan prestasi memberangsangkan walaupun industri secara keseluruhan berdepan cabaran pertumbuhan perlahan.

“Bagi insurans am, industri mencatatkan penguncupan sekitar 1.1 peratus pada suku pertama, namun Allianz berjaya mencatat pertumbuhan hampir sembilan peratus, sekali gus mengatasi pasaran.

“Bagi insurans hayat pula, prestasi kekal stabil dengan pertumbuhan yang baik dari segi premium dan keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Allianz Malaysia sempena ulang tahun ke-25 syarikat itu di sini semalam.

Menurut beliau, walaupun kesan langsung konflik geopolitik terhadap Allianz adalah terhad, syarikat tetap memantau kesan tidak langsung terutama terhadap inflasi dan kos tuntutan insurans.

“Gangguan rantaian bekalan boleh memberi kesan kepada harga alat ganti dan kos pembaikan, yang seterusnya mempengaruhi kos tuntutan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Bhd., Giulio Slavich berkata, segmen insurans hayat menunjukkan ketahanan kukuh walaupun berdepan isu inflasi perubatan.

Jelasnya, pelaksanaan produk kesihatan dengan ciri pembayaran bersama telah mula diterima baik oleh pelanggan dan membantu meningkatkan kesedaran terhadap kos rawatan kesihatan.

“Pelanggan kini lebih memahami kepentingan berkongsi kos rawatan bagi memastikan sistem perlindungan kesihatan lebih mampan,” katanya.

Tambah Giulio, kerjasama antara syarikat insurans, hospital dan pihak berkaitan turut membantu mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu inflasi perubatan.

“Allianz juga bersedia membangunkan produk kesihatan asas baharu bagi memperluaskan akses perlindungan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi syarikat, khususnya pengurusan tuntutan, membantu meningkatkan kecekapan serta mempercepatkan proses kepada pelanggan.

“AI digunakan untuk mempercepatkan pemprosesan tuntutan dan meningkatkan ketepatan semakan, namun ia tidak menggantikan tenaga kerja manusia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN