PETALING JAYA: Aktiviti penjualan barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM600,000 berjaya ditumpaskan dalam operasi di tiga premis berasingan di sekitar Johor Bahru, Isnin lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kegiatan itu dibongkar oleh Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya hasil risikan selama sebulan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menawarkan pelbagai barangan berjenama yang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran pemilik berdaftar.
Serbuan tersebut membawa kepada penyitaan pelbagai barangan disyaki tiruan melibatkan pakaian, beg tangan, dompet, tali pinggang, minyak wangi serta dokumen perniagaan dengan anggaran nilai rampasan RM600,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, pemeriksaan dan pengesahan awal bersama wakil pengadu mendapati wujud alasan munasabah untuk mempercayai berlakunya pelanggaran undang-undang berkaitan cap dagangan.
Susulan itu, KPDN menahan empat warga tempatan yang terdiri daripada pemilik dan penjaga premis bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam pengurusan operasi perniagaan berkenaan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] dan individu disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjara maksimum sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Manakala bagi pesalah syarikat atau pertubuhan perbadanan, hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama dan maksimum RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan berikutnya.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan atau pengedaran barangan tiruan yang melanggar hak harta intelek serta mengelirukan orang ramai,” katanya.-UTUSAN










