Akibat terlajak lokasi, penghantar makanan diserang pelanggan

Akibat terlajak lokasi, penghantar makanan diserang pelanggan

Kawasan gelap menyukarkan penghantar makanan mencari alamat pelanggan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penghantar makanan tidak menyangka diserang pelanggan akibat terlajak lokasi penghantaran dalam kejadian di Kelana Jaya semalam.

Lelaki dikenali sebagai Man, 28, berkata, dia pada mulanya menerima tempahan daripada restoran makanan segera di sebuah stesen minyak di SS6, Kelana Jaya kira-kira 4.45 pagi untuk dihantar ke sebuah premis di Taman Rasa Sayang di sini. 

Bagaimanapun katanya, dia gagal menemui premis berkenaan ketika tiba di lokasi kejadian pada 5.30 pagi sebelum menghubungi pelanggan bagi mendapatkan lokasi sebenar.

“Saya telefon pelanggan, tetapi dia tidak jawab soalan saya. Dia cuma asyik tanya sama ada saya sudah sampai bawah atau belum sebelum menutup telefon.

“Saya cuba hubungi sekali lagi dan dia marah kenapa saya tunggu di hujung deretan kedai sedangkan kawasan itu gelap dan saya memang tidak nampak mereka.

“Saya cuma nak hantar makanan dan terima bayaran, tetapi tiba-tiba diserang hanya kerana terlajak ke depan sedikit selepas tidak menemui lokasi penghantaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Man berkata, dia kemudian menghampiri dua lelaki dipercayai pelanggan dan rakannya sebelum seorang daripada mereka terus memarahinya tanpa sebab.

“Saya hanya minta mereka bercakap elok-elok kerana saya datang mahu hantar makanan. Saya tunjuk kod QR untuk pembayaran, tetapi sebelum sempat mereka bayar, seorang lagi pergi ke belakang motosikal saya.

“Apabila saya tanya kenapa dia berada di belakang motosikal, dia kata mahu tengok motosikal. Selepas itu dia buka zip seluar dan kata mahu kencing. Saya cuma tanya kenapa mahu kencing di situ,” katanya.

Menurutnya, pertanyaan itu menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit naik angin sebelum pelanggan itu menghempuk topi keledar yang dipakainya, manakala rakannya menumbuk bahagian kiri mukanya.

“Dalam keadaan kelam-kabut saya capai telefon, tetapi mereka rampas dan hempas telefon saya ke atas jalan. Saya cuba ambil semula telefon itu beberapa kali tetapi mereka halang.

“Tak lama kemudian, tiga lagi lelaki keluar dari arah deretan kedai. Saya terus lari sebab rasa nyawa saya dah tak selamat,” katanya.

Menurut Man, dia berlari ke kawasan perumahan berhampiran dan meminta bantuan penduduk sebelum menghubungi talian kecemasan.

Jelasnya, dia cuba menekan loceng beberapa rumah namun tiada siapa yang keluar. 

“Kemudian saya nampak ada rumah yang pintu terbuka dan akibat terdesak saya terus masuk serta minta tolong penduduk rumah itu menghubungi talian kecemasan.

“Dalam 10 minit lepas buat laporan, saya pergi semula ke tempat kejadian kerana takut motosikal hilang namun mujur masih ada malah telefon bimbit saya pun diletak semula dalam raga.

“Angota polis tiba kira-kira jam 6.15 pagi sebelum meminta saya ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN