AI jimatkan kos operasi peruncitan hingga 30 peratus

AI jimatkan kos operasi peruncitan hingga 30 peratus

KETUA Pegawai Eksekutif Xilnex Holdings Berhad, Ooi Boon Sheng (kiri) bersama Ibrahim Sani (dua kiri), Low Ngai Yuen (tiga kiri) dan Malik Murad Ali (kanan) selepas sesi Meja Bulat Media: Kesan AI pada Margin Runcit & Tekanan Kos di Petaling Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor peruncitan mampu menyumbang kepada penjimatan kos operasi antara 20 hingga 30 peratus, sekali gus membantu peniaga mengekalkan harga barangan yang rendah tanpa menjejaskan margin keuntungan.

Langkah pengoptimuman di peringkat rantaian bekalan ini amat kritikal ketika industri sedang berdepan tekanan kos luaran yang semakin meningkat, terutamanya melibatkan kos tenaga kerja serta kos pengangkutan ekoran pelarasan harga diesel.

Pengarah Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Malik Murad Ali berkata, kadar peratusan penjimatan melalui AI adalah bergantung kepada jenis proses operasi yang dilaksanakan di sesebuah syarikat.

Menurut beliau, walaupun sesetengah proses harian hanya mencatatkan kadar penjimatan yang kecil sekitar dua peratus, impak nilainya tetap sangat besar buat organisasi berskala mega.

“Bagi syarikat berskala besar seperti Mydin, penjimatan kecil sebanyak dua peratus itu sahaja sebenarnya boleh mencecah nilai RM20 juta. Sebab itu kita perlu tengok skala proses dan kosnya.

“Sebagai contoh, peruncit kini boleh mengoptimumkan sistem penghawa dingin di pusat pengedaran (DC) dan rantaian sejuk beku yang menelan kos beratus ribu ringgit sehari.

“Melalui AI, kita mampu menjimatkan RM10,000 hingga RM20,000 sehari dan semua hasil penjimatan kos ini akan dipulangkan semula kepada pelanggan melalui tawaran harga barangan yang terbaik,” katanya semasa sidang media selepas sesi Meja Bulat Media: Kesan AI pada Margin Runcit & Tekanan Kos di sini, semalam.

Turut hadir, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani, Ketua Pegawai Eksekutif Xilnex Holdings Berhad, Ooi Boon Sheng dan Pengarah Urusan Aeon360 Sdn Bhd, Low Ngai Yuen.

Mengulas lanjut, Malik berkata, AI turut membantu mengurangkan kos logistik dengan keupayaan menganalisis data untuk menetapkan laluan perjalanan trak penghantaran secara paling cekap.

Katanya, jika dahulu pemandu terpaksa menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer (km), sistem AI kini boleh merangka laluan alternatif yang lebih pendek kepada 20 km sahaja dalam tempoh 20 minit untuk meliputi kawasan yang sama.

Selain memotong kos rantaian bekalan, kecekapan AI turut terbukti dalam mempercepatkan tempoh latihan pekerja barisan hadapan seperti juruwang kaunter.

“Dahulu, kalau kita mahu latih pekerja baharu menggunakan sistem tempat jualan (POS) atau mesin penimbang barangan basah (weighing scale), ia mengambil masa satu hingga dua hari baru mereka boleh jadi pakar.

“Tetapi hari ini dengan bantuan AI, dalam masa satu jam sahaja pekerja sudah boleh dilatih dan terus bekerja. Ini membuka peluang kerja yang lebih pantas buat golongan seperti ibu tunggal atau pesara yang mahu mencari pendapatan sampingan,” katanya.

Dalam pada itu, Malik berkata, majoriti pelanggan masih memilih untuk berbelanja di pasar raya kerana manusia secara semula jadi menyukai interaksi dan keterhubungan sosial.

Malah katanya, pasaran di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) membuktikan bahawa sektor fizikal kekal menjadi tunjang utama industri peruncitan, manakala platform dalam talian lebih cenderung menjadi tumpuan golongan pemburu barangan murah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN