KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan meluluskan sebanyak 941 permohonan pinjaman di bawah Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu (SPPRNT) sejak 2002 melibatkan pembiayaan berjumlah RM18.8 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. M. Noor Azman Taib berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 776 peminjam melangsaikan sepenuhnya pinjaman masing-masing manakala baki 165 lagi merupakan peminjam aktif.
Beliau berkata, penyerahan SPPRNT kepada Kerajaan Negeri Terengganu selepas lebih dua dekad diuruskan Kerajaan Persekutuan adalah satu catatan bersejarah yang mencerminkan kerjasama erat antara kedua-dua pihak demi kepentingan rakyat.
“Pengakhiran kepada proses yang panjang ini adalah persetujuan kerajaan supaya SPPRNT diserahkan untuk ditadbir dan diurus sendiri oleh Kerajaan Negeri Terengganu bersama dana terkumpul sebanyak RM23.81 juta,” katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan SPPRNT di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Surat Ikatan Penyerahan SPPRNT antara KPKT dan Kerajaan Negeri Terengganu yang disempurnakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
M. Noor Azman berkata, SPPRNT diwujudkan pada 2002 melalui Akaun Amanah di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Terengganu mendapatkan pembiayaan perumahan.
Menurutnya, skim tersebut bertujuan membantu rakyat membina rumah baharu, membeli rumah kos rendah sama ada yang telah siap atau masih dalam pembinaan serta membaik pulih rumah sedia ada.
Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaannya, KPKT menguruskan skim itu menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM20 juta yang dikhususkan kepada rakyat Terengganu.
Katanya, cadangan pengambilalihan skim tersebut oleh kerajaan negeri dibincangkan sejak 2011 dan melibatkan pelbagai pihak serta pelbagai peringkat pentadbiran.
“Penyerahan ini merangkumi keseluruhan program SPPRNT termasuk liabiliti serta baki terkumpul dalam Akaun Amanah SPPRNT berjumlah kira-kira RM23.81 juta,” katanya. – UTUSAN










