80,672 Rumah Mesra Rakyat dibina sejak 2002

80,672 Rumah Mesra Rakyat dibina sejak 2002

M. NOOR Azman bergambar bersama penerima selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) Negeri Terengganu di Dewan Ehsan, Felda Wilayah Timur, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebanyak 80,672 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) bernilai kira-kira RM6 bilion dibina di seluruh negara sejak program itu diperkenal pada 2002.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. M. Noor Azman Taib berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 79,260 unit telah disiapkan manakala bakinya dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Katanya, Kelantan merekodkan jumlah pelaksanaan RMR tertinggi dengan 12,156 unit telah siap dan 57 unit lagi sedang dibina.

“Terengganu pula merekodkan 10,286 unit rumah siap dan 154 unit sedang dalam pelaksanaan manakala Johor mencatatkan 8,794 unit siap serta 145 unit lagi sedang dibina. RMR adalah satu skim yang mempunyai kesan berganda yang diwujudkan khusus bagi membantu golongan sasar memiliki rumah sendiri.

“Ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Perumahan Negara yang memberi penekanan terhadap aspek akses dan kemampuan rakyat untuk memiliki kediaman,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) Negeri Terengganu di Dewan Ehsan, Felda Wilayah Timur di sini, hari ini.

M. Noor Azman berkata, sejak 2002, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina hampir 80,000 unit RMR di seluruh negara bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Katanya, setiap unit RMR dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 750 kaki persegi serta dijual pada harga RM90,000.

“Kerajaan menyediakan subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit manakala baki RM70,000 merupakan pinjaman tanpa faedah yang boleh dijelaskan dalam tempoh 17 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN