63 tawaran BN untuk rakyat Johor

63 tawaran BN untuk rakyat Johor

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penyediaan 200,000 peluang pekerjaan dan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk golongan muda merupakan antara tawaran utama Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Johor menerusi manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, manifesto BN Johor menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.

Katanya, antara komitmen utama ditawarkan termasuk memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar, meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi menerusi dana RM100 juta dan meneruskan bantuan rumah pertama, masuk rumah serta bantuan sewa rumah.

“Selain itu, BN turut menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak Johor, pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil serta penambahan dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta.

“Dalam aspek ekonomi, kita juga mahu melonjakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Johor dalam rantaian bekalan pelaburan strategik, selain memperkukuh Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, meneruskan insentif mahasiswa anak Johor serta melaksanakan Program Semarak Isya’,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Onn Hafiz, manifesto itu dirangka berasaskan pengalaman mentadbir negeri sepanjang empat tahun lalu dan mengambil kira keperluan sebenar rakyat Johor.

Katanya, setiap tekad dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat, daripada peluang pekerjaan dan perniagaan kepada perumahan, pendidikan serta kehidupan yang lebih baik. 

Onn Hafiz justeru itu menggesa rakyat Johor memberikan mandat penuh kepada BN bagi memastikan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan.

“Ia bukan sekadar janji, tetapi dibina atas pengalaman mentadbir, rekod yang telah dibuktikan dan usaha untuk membawa Johor lebih maju. Kini, pilihan kembali di tangan rakyat Johor. Benih yang telah disemai kini mula membuahkan hasil. 

“Jangan biarkan momentum kemajuan Johor terhenti di pertengahan jalan. Kita telah membina asasnya. Kita telah melihat hasilnya. Kini tiba masanya untuk kita menyempurnakannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×