MARANG: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 60,698 pendaftaran kelahiran membabitkan warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sejak tahun 2000 hingga 19 Jun lalu.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, rekod tersebut melibatkan tiga kategori utama iaitu warga Myanmar, Burma dan pemegang kad UNHCR.
Kata beliau, sebahagian besar daripada jumlah tersebut dipercayai melibatkan etnik Rohingya, namun JPN tidak memecahkan angka mengikut kategori bagi mengelakkan ketidaktepatan data.
“Setakat ini dalam rekod kita terdapat lebih 60,000 pendaftaran kelahiran melibatkan tiga kategori tersebut sejak tahun 2000 hingga sekarang.
“Sebahagian besarnya melibatkan kelompok ini, namun terdapat juga pemegang kad UNHCR daripada kumpulan lain dan jumlah mereka kurang daripada lima peratus,” katanya selepas Program Santuni Madani Bersama Komuniti Kampung Padang Tanjung, bukit Payung di sini.
Badrul Hisham berkata, pendaftaran kelahiran yang dibuat di Malaysia tidak secara automatik melayakkan seseorang memperoleh kewarganegaraan negara ini.
Katanya, status kewarganegaraan seseorang anak ditentukan berdasarkan kewarganegaraan ibu bapa serta status perkahwinan mereka.
“Kelahiran di Malaysia bukan lesen untuk mendapat kewarganegaraan. Taraf kewarganegaraan ditentukan oleh status ibu bapa dan perkahwinan mereka. Sekiranya salah seorang ibu atau bapa merupakan warganegara Malaysia dan perkahwinan mereka didaftarkan mengikut undang-undang, anak itu layak dipertimbangkan sebagai warganegara,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa kadar kelahiran warga asing melebihi kelahiran rakyat tempatan.
Menurutnya, Malaysia merekodkan kira-kira 500,000 kelahiran setiap tahun dan jumlah kelahiran melibatkan warga asing tersebut adalah kecil berbanding keseluruhan populasi negara.
“Jumlah 60,000 itu direkodkan dalam tempoh lebih 25 tahun dan ia tidak menunjukkan peningkatan luar biasa atau melebihi kelahiran rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui masih terdapat kes kelahiran yang tidak didaftarkan kerana ibu bapa takut berurusan dengan pihak berkuasa, khususnya yang mempunyai masalah dokumen atau status imigresen.
Katanya, keadaan itu menyebabkan berlaku kes pendaftaran lewat kelahiran termasuk melibatkan pasangan yang tidak mempunyai dokumen sah atau tinggal di kawasan pedalaman.
“Bukan sahaja warga asing, ada juga rakyat Malaysia yang takut hadir mendaftar kerana berdepan masalah dokumentasi. Sebab itu JPN melaksanakan program seperti Mekar dan SUAR dengan membawa perkhidmatan bergerak ke kawasan pedalaman bagi memastikan tiada individu yang layak memperoleh dokumen pengenalan diri tercicir,” katanya. – UTUSAN










