54 PATI mengaku salah pelbagai kesalahan imigresen dipenjara, denda

54 PATI mengaku salah pelbagai kesalahan imigresen dipenjara, denda

SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seramai 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing dijel sebulan hingga tiga bulan dan denda RM1,000 hingga RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Semua tertuduh yang berusia dalam lingkungan 19 tahun hingga 56 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dalam bahasa Myanmar, Melayu, Kemboja dan Thailand selama kira-kira 30 minit di depan Hakim Zulkipli Abdullah.

Kesemua PATI itu terdiri daripada seramai 33 orang warga Myanmar, Indonesia (12 orang), Kemboja (lima orang) dan Thailand (empat orang).

Mengikut pertuduhan, 38 PATI didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau enam sebatan jika disabitkan kesalahan 

Seramai 10 lagi tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua PATI didakwa mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit dikeluarkan yang turut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Empat lagi PATI dituduh mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara untuk tempoh tertentu, sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia, Siti Khadijah Khairuddin manakala hanya dua tertuduh diwakili peguam, Nik Mohamad Naqib Mohamad Noor.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 terhadap 48 PATI yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dua PATI yang didakwa mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dihukum penjara dua bulan dan denda RM5,000 manakala empat lagi tertuduh dijel sebulan serta denda RM1,000.

Semua PATI tidak membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, 54 PATI dicekup dalam operasi berasingan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia pada 8, 11 dan 13 Jun lalu di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu, Bachok, Kuala Krai serta Pasir Mas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN