BATU GAJAH: Seramai 42 prospek di Pusat Koreksional Batu Gajah di sini berjaya menamatkan Kursus Bantuan Hayat Asas (Basic Life Support – BLS) dan memperoleh sijil bertauliah selepas lulus ujian teori serta praktikal, sekali gus mencipta sejarah sebagai program pertama seumpamanya di negara ini.
Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Pusat Koreksional Batu Gajah dan Hospital Batu Gajah.
Pengarah Penjara Negeri Perak, Timbalan Komisioner Fayrouz Ahmad Zawawi berkata, inisiatif tersebut merupakan yang pertama melibatkan prospek Jabatan Penjara Malaysia dan telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
“Program ini memberi pendedahan serta kemahiran asas menyelamatkan nyawa kepada prospek menerusi latihan yang dikendalikan oleh pegawai serta pakar perubatan.
“Kemahiran yang diperoleh bukan sahaja boleh digunakan sepanjang berada dalam institusi, malah bermanfaat selepas mereka kembali ke dalam masyarakat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian BLS dan Automated External Defibrillator (AED) Bertauliah di Pusat Koreksional Batu Gajah di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara, S Tanabal.
Menurutnya, 42 prospek itu terdiri daripada 30 wanita dan 12 lelaki yang terlibat dalam program yang merangkumi latihan teori, amali serta penilaian.
Sementara itu, Pengarah Hospital Batu Gajah, Dr. Jayakumaran Jayabalan berkata, idea pelaksanaan program tersebut tercetus hasil perbincangan antara pihak hospital dan Pusat Koreksional Batu Gajah bagi memberi manfaat kepada prospek.
Menurut beliau, pada awalnya program berkenaan dirancang sebagai latihan biasa sebelum disedari ia merupakan inisiatif pertama di negara ini yang melibatkan latihan BLS bertauliah kepada prospek institusi penjara.
“Berikutan itu, kami mengambil inisiatif untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records dan akhirnya berjaya melakar sejarah,” katanya.
Beliau berkata, kesemua peserta telah lulus ujian bertulis dan praktikal serta diiktiraf sebagai pengamal BLS.
“Sijil bertauliah yang diterima ini diharap dapat meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu proses integrasi semula prospek ke dalam masyarakat selepas dibebaskan,” katanya. – UTUSAN










