TELUK INTAN: Seramai 36 keluarga di Kampung Batu 6, Kampung Glouster, Jalan Changkat Jong di sini merayu supaya arahan perpindahan ke atas kediaman mereka yang dibina di atas tanah rizab kerajaan ditangguhkan.
Penduduk berkata, mereka memerlukan masa kerana perpindahan melibatkan kos tinggi dan ada yang tidak mengetahui ke mana hendak berpindah.
Sazali Abidin, 68, berkata penduduk tidak menghalang arahan berpindah kerana sedar tanah itu milik kerajaan, namun mereka memerlukan masa.
“Kami perlu masa kerana tidak mudah cari rumah dan petempatan baharu, jika pindah, pasti ada kos yang perlu ditanggung tapi sekiranya kami enggan berpindah, kami bimbang dikenakan tindakan.
“Saya dilahirkan di kampung ini, sudah berkeluarga dan banyak modal dikeluarkan untuk membina rumah, malah berpuluh-puluh ribu ringgit wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan untuk membina rumah.
“Kami buntu memikirkan nasib dan tak tahu hendak ke mana.
“Inilah tanah, rumah dan kampung kami dan harap kerajaan memberikan masa kepada kami untuk berpindah,” katanya.
Katanya, kebanyakan penduduk kampung itu menjadi nelayan dan menanam kelapa sawit yang hasilnya hanya cukup untuk keperluan keluarga.
Menerusi pendapatan kecil, penduduk tidak mempunyai wang membina rumah baharu.
“Kami akui tinggal di tanah rizab kerajaan, kami tidak menghalang jika kerajaan mahu buat pembangunan untuk rakyat.
“Namun kami perlukan bantuan untuk memulakan hidup baharu jika rumah kami dirobohkan.
“Kami harap kepada pihak yang berkenaan supaya prihatin terhadap keadaan kami. Bukan mudah apabila tiba-tiba diarahkan berpindah,” katanya.
Penduduk, Siti Zainab Abdullah, 79, berkata, mereka tidak menolak pembangunan yang akan dibina di tanah rizab diduduki itu, namun berharap kerajaan beri lebih masa untuk berpindah kerana bukan mudah untuk mencari rumah baharu dalam masa yang suntuh dan singkat. – UTUSAN










