30 tahun terbengkalai - Utusan Malaysia

30 tahun terbengkalai

KEADAAN terkini tapak pembinaan Plaza Rakyat yang terbengkalai lebih 30 tahun di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Plaza Rakyat di Jalan Pudu di sini yang terletak bersebelahan Pudu Raya kekal terbengkalai sejak lebih 30 tahun lalu, selepas pembinaannya terhenti susulan Krisis Kewangan Asia 1997.

Bangunan yang mula dibina pada 1992 dan dikatakan bakal menjadi pengganti kepada Pudu Raya sebagai hab pengangkutan awam untuk seluruh negara serta menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas ketika itu, menelan anggaran kos RM1.2 bilion.

Pembinaan yang sepatutnya siap sepenuhnya pada 2007 itu dirancang dengan ketinggian 382 meter serta keluasan ruang mencecah 6.6 juta kaki persegi, namun sehingga kini gagal di­siapkan.

Projek berkenaan turut dirancang menempatkan pelbagai kemudahan termasuk ruang niaga, pusat pengangkutan awam, ruang pejabat, pusat hiburan serta hotel.

Plaza Rakyat terbengkalai sejak 1997 apabila negara menghadapi kemerosotan ekonomi dan masih terbiar, walaupun terdapat beberapa percubaan dibuat untuk membangunkannya semula.

Pada 2015, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk menyelesaikan masalah 211 pembeli projek Plaza Rakyat dan Profit Consortium Sdn. Bhd. dilantik untuk menggalas tanggungjawab memulihkan bangunan tersebut.

Semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada 2019, kerajaan ketika itu memaklumkan, Plaza Rakyat akan dibangunkan semula apabila beberapa perkara diselesaikan oleh pemaju baharu dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada sebarang projek pembangunan semula yang dimuktamadkan bagi menghidupkan kembali tapak berkenaan, sekali gus menjadikan masa depan Plaza Rakyat terus tergantung tanpa hala tuju yang jelas.

Isu Plaza Rakyat kembali menjadi perhatian apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh baru-baru ini turun padang meninjau sendiri keadaan tapak projek yang terus terbengkalai di tengah-­tengah ibu negara.

Beliau berkata, keadaan Plaza Rakyat bukan sahaja menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya moden, malah turut menimbulkan persoalan berkaitan aspek keselamatan dan keselesaan warga kota yang melalui kawasan berkenaan setiap hari.

Katanya, kerajaan sedang meneliti status semasa projek ber­kenaan termasuk beberapa isu berkaitan pemilikan dan pemba­ngunan, sebelum sebarang keputusan mengenai masa depannya dimuktamadkan.

KELIHATAN sebuah kolam takungan air besar yang terbentuk di kawasan terbuka struktur terbengkalai.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, struktur bangunan berkenaan masih berdiri teguh, namun tiada sebarang kerja pembinaan dijalankan, sekali gus me­nimbulkan persoalan sama ada ia berpotensi untuk dibangunkan semula atau perlu dirobohkan.

Lebih membimbangkan, sebuah kren besar terus terbiar tidak bergerak di tengah tapak pembinaan, lantas menimbulkan kebimbangan terhadap aspek ke­selamatan pengguna Transit A­liran Ringan (LRT) serta pejalan kaki di sekitar kawasan berkenaan.

Di tapak pembinaan turut kelihatan sebuah kolam takungan air besar yang terbentuk di kawasan terbuka struktur terbengkalai.

Keadaan tersebut turut disertai bau yang kurang menyenangkan serta kewujudan sampah di sekitar kawasan pembinaan, mencerminkan tahap penyelenggaraan yang semakin merosot di lokasi berkenaan.

Pakar perancangan bandar, Dr. Noor Hashimah Hashim Lim berkata, mana-mana bangunan terbengkalai yang dibiarkan terlalu lama bukan sahaja memberi kesan negatif kepada persekitaran bandar, malah wajar segera dihidupkan semula melalui pendekatan lebih lestari dan berstrategi.

Beliau berkata, isu bangunan terbiar tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana berpotensi menjejaskan imej bandar, keselamatan awam serta mencetuskan masalah sosial setempat.

“Mana-mana bangunan terbengkalai yang dibiarkan terlalu lama pasti akan memberi kesan negatif. Justeru, ia wajar dihidupkan semula.

“Namun, pendekatan yang paling sesuai ialah guna semula adaptif (adaptive reuse), bukannya merobohkan dan membina semula dari awal,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja lebih mampan dari sudut alam sekitar, malah mengurangkan kesan karbon serta gangguan jangka panjang akibat kerja-kerja pembinaan semula.

“Perobohan dan pembinaan semula memberi kesan sampingan negatif seperti pencemaran setempat seperti udara, bunyi dan air sekurang-kurangnya selama lima tahun serta pelepasan karbon yang tinggi. Justeru, pemuliharaan bangunan adalah lebih wajar,” katanya.

Beliau menambah, bangunan terbengkalai yang dibiarkan tanpa intervensi boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif termasuk kemerosotan kawasan sekitar serta aktiviti tidak sihat di kawasan terbiar.

“Apabila sesebuah bangunan berskala besar dibiarkan terbengkalai, memang tidak dapat dinafikan pelbagai isu sosial boleh timbul di sekitarnya.

“Ia berpotensi menjadi tempat berlindung golongan gelanda­ngan atau lokasi berlakunya aktiviti penyalahgunaan dadah dan masalah sosial lain.

“Selain itu, keadaan bangunan yang tidak diselenggara juga boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada orang awam,” katanya.

GAMBAR bertarikh 3 Februari 2003. Walaupun lebih 20 tahun berlalu, boleh dikatakan keadaan di tapak pembinaan Plaza Rakyat langsung tidak berubah.

Noor Hashimah menegaskan, potensi bangunan lama masih boleh dimanfaatkan sekiranya diberikan nafas baharu melalui perancangan yang teliti dan berorientasikan fungsi semula.

“Dari sudut pemuliharaan ba­ngunan lama untuk kegunaan baharu, negara ini mempunyai amalan dan garis panduan yang baik yang boleh dijadikan rujukan bagi memastikan sesebuah bangunan kekal selamat untuk digunakan oleh orang awam.

“Sebagai contoh, projek seperti RexKL dan Bangunan Zhongshan membuktikan bahawa bangunan lama boleh dipulihara dan diberikan nafas baharu tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

“Malah, kedua-dua bangunan tersebut kini berfungsi dengan baik, aktif digunakan dan diterima oleh masyarakat sebagai ruang yang selamat serta bernilai kepada bandar,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna LRT, Daniel Ahmad, 27, berkata, struktur bangunan terbengkalai itu mencacatkan pemandangan di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Menurutnya, keadaan tersebut wajar diberi perhatian serius dan tidak seharusnya dibiarkan berterusan.

“Tapak berkenaan dilihat lebih sesuai dibangunkan semula de­ngan projek baharu yang memberi manfaat kepada orang ramai, memandangkan lokasinya yang sangat strategik,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, pembangunan semula Plaza Rakyat secara ke­seluruhan atau perobohan struktur sedia ada mungkin lebih wajar dipertimbangkan berbanding meneruskan pembinaan ke atas struktur lama yang sudah berusia dan berisiko.

“Saya rasa lebih baik ia dirobohkan dahulu. Kalau nak sambung pun agak merisaukan sebab struktur itu sudah lama dan ‘tua’. Tapi yang pasti, kita tak boleh biarkan ia terus berdiri begitu sahaja.

“Saya sokong sekiranya ia dibina semula menjadi satu bangunan yang boleh memberi kemudahan kepada rakyat seperti tempat untuk beriadah atau taman tema air. Bukan sahaja masyarakat tempatan sahaja akan datang tetapi juga dapat menarik pelancong,” katanya.

Suasana hening dan sepi yang dirakamkan di laluan pejalan kaki menuju ke Stesen LRT Plaza Rakyat.

Seorang lagi pengguna LRT, Nurul Nadia Alias, 26, pula berkata, keadaan Plaza Rakyat yang terus terbengkalai menimbulkan imej kurang baik kepada Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi lokasinya yang berada bersebelahan stesen LRT dan menjadi laluan harian ribuan pengguna pengangkutan awam.

Menurutnya, setiap kali menggunakan perkhidmatan LRT di stesen berkenaan, dia tidak dapat mengelak daripada melihat struktur bangunan yang telah lama terbiar itu.

“Setiap hari ramai pengguna LRT melalui kawasan ini, apa yang mereka lihat hanyalah sebuah projek yang gagal disiapkan sejak puluhan tahun. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×