3.2 juta rakyat berdepan kekangan kerja akibat tanggungjawab penjagaan

3.2 juta rakyat berdepan kekangan kerja akibat tanggungjawab penjagaan

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 3.2 juta rakyat di negara ini yang majoritinya terdiri daripada golongan wanita dikesan berdepan kekangan untuk menyertai pasaran kerja secara sepenuhnya disebabkan oleh tanggungjawab penjagaan di rumah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menganggarkan bahawa kerja penjagaan dan domestik tidak berbayar ini bernilai kira-kira RM379 bilion setahun.

Menurutnya, jumlah ini secara kasarnya adalah menyamai nilai keseluruhan sektor pembuatan kepada negara.

“Pelaburan dalam sistem penjagaan bukan lagi sekadar isu sosial, tetapi merupakan satu keperluan ekonomi.

“Dengan membolehkan penyertaan tenaga kerja yang lebih besar melalui sistem penjagaan yang boleh diakses, ia mampu menyumbang sekitar RM77 bilion setahun atau kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya ketika berucap pada Program Meja Bulat Ekonomi Penjagaan ABAC Malaysia 2026 di ibu negara, hari ini.

Nancy turut berkongsi pengalaman peribadinya sendiri sebagai seorang anak yang menghadapi kesukaran mencari penjaga bertauliah ketika ibunya jatuh sakit.

“Saya sendiri sebagai seorang anak pernah melalui pengalaman mencabar mencari penjaga yang bertauliah untuk ibu saya. Bayangkan kesukaran yang dihadapi oleh berjuta keluarga lain yang mempunyai sumber terhad.

“Kita perlu mengubah cara kita melihat sektor penjagaan ini daripada kerja sampingan kepada satu sektor ekonomi yang profesional dan mampan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia dijangka memasuki fasa negara tua menjelang tahun 2050, di mana penduduk berumur 60 tahun ke atas akan merangkumi 15.3 peratus daripada populasi.

“Trend ini diburukkan lagi dengan kadar kesuburan negara yang menjunam daripada 6.0 kelahiran bagi setiap wanita pada tahun 1960 kepada hanya 1.6 pada masa kini, iaitu di bawah tahap penggantian 2.1,” katanya.

Bagi mendepani krisis tersebut, Nancy memaklumkan bahawa kementeriannya sedang melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk pengenalan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030.

“Melalui Bajet 2026, kementerian telah memperuntukkan dana bagi melaksanakan latihan penjagaan di bawah program TVET Penjagaan (MTVET) untuk melahirkan penjaga yang kompeten dan mahir.

“Seramai 2,000 pelajar dijangka akan mengambil program itu berbanding tahun lepas sekadar 1,000 sahaja.

“Selain itu, kami juga dalam proses membangunkan Standard Penjagaan Kebangsaan bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sebagai instrumen tadbir urus bagi memastikan kualiti dan keselamatan perkhidmatan penjagaan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN