KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesahkan sebanyak 29 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini, semalam.
Ketua Zon 1 JBPM Kelantan, Penguasa Bomba Kanan II Khairul Ariffin Che Ramli berkata, siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, namun setakat ini belum dapat dipastikan.
Katanya, seramai 55 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Kota Darulnaim, BBP Pengkalan Chepa dan BBP Tunjong terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran tersebut.
“Pasukan bomba turut melakukan pemeriksaan menyeluruh di kawasan terjejas berikutan masih terdapat sisa bara api di beberapa lokasi. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air daripada jentera bomba, sungai berhampiran dan pili bomba bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Khairul Ariffin berkata, mangsa kebakaran dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan terjejas buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Katanya, orang ramai juga diminta tidak memasuki kawasan berkenaan bagi memudahkan kerja-kerja pemeriksaan, siasatan dan pemantauan yang sedang dijalankan pihak berkuasa. – UTUSAN










