IPOH: Seramai 2,182 pelajar baharu mendaftar di Politeknik Ungku Omar (PUO) bagi pengajian Sesi I: 2026/2027, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh institusi berprestij itu.
Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, kemasukan pelajar baharu itu merupakan manifestasi kepercayaan masyarakat terhadap peranan PUO dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan memenuhi kehendak industri semasa.
“Kami berbangga menerima kehadiran 2,182 pelajar baharu yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga besar PUO.
“Gunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu, membina sahsiah serta mengembangkan potensi diri agar menjadi graduan yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” katanya di sini hari ini.
Pendaftaran pelajar baharu berlangsung pada 20 dan 21 Jun di kampus PUO di sini.
Bagi sesi kemasukan kali ini, pelajar baharu akan mengikuti pengajian dalam 18 program yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang strategik.
Program tersebut ialah Diploma Perakaunan (DAC), Diploma Kewangan Islam (DIF), Diploma Kewangan (DFI), Diploma Pengajian Perniagaan (DPM), Diploma Pengurusan Peruncitan (DRM), Diploma Teknologi Maklumat (DIT), Diploma Kejuruteraan Perkapalan (DKP), Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (DEE) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) (DEP).
Progran lain yang ditawarkan termasuk Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) (DTK), Diploma Kejuruteraan Awam (DKA), Diploma Seni Bina (DSB), Diploma Geomatik (DGU), Sijil Khas Pembinaan (KPB), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) (DAD), Diploma Kejuruteraan Mekatronik (DEM), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan) (DPU) serta Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DKM).
Sementara itu, kehadiran tiga beradik kembar dan tujuh pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) mewarnai Minggu Transformasi Siswa (MTS) PUO tahun ini.
Tiga pasangan kembar yang mendaftar ialah Nur Fatin Shazana Mohd Fadzil dan Muhammad Aqil Taqiuddin Mohd Fadzil dari Manong; R. Varshaan dan R. Varmhan dari Taiping serta B. Sharacaniswarran dan B. Shanmugiswaran dari Rawang, Selangor.
Kehadiran mereka mencerminkan kepelbagaian latar belakang pelajar yang memilih PUO sebagai destinasi pengajian TVET, sekali gus menambahkan kemeriahan dan keunikan sesi kemasukan pelajar baharu bagi sesi ambilan ini. – UTUSAN










