PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meluluskan 136 kes tuntutan faedah Lindung 24 Jam dalam tempoh tiga minggu pertama pelaksanaan skim itu sejak 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, jumlah itu mewakili 62.9 peratus daripada keseluruhan tuntutan diterima dengan bayaran faedah sebanyak RM672,743.10 sudah disalurkan kepada pencarum terlibat.
Katanya, skim baharu itu memberi perlindungan kepada Orang Berinsurans (OB) yang ditimpa musibah di luar waktu kerja termasuk ketika bercuti, beriadah atau menjalankan aktiviti harian.
“Ramai yang memahami Perkeso memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja sahaja, namun menerusi Lindung 24 Jam, ia kini diperluaskan kepada insiden luar waktu kerja termasuk hari cuti.
“Langkah proaktif ini bertujuan memastikan OB yang ditimpa musibah di luar waktu tugasan hakiki mereka tetap mendapat pembelaan sewajarnya, selain menutup kelompangan yang wujud sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara penerima terawal skim itu ialah dua mangsa kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor, iaitu Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22.
Di Keningau, Sabah, petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Brissty Vidalyn Felicianus, 33, turut dilindungi selepas kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam gaung ketika pulang daripada aktiviti pendakian.
Ramanan berkata, mangsa yang mengalami patah bahu dan kaki kanan kini berada dalam pemantauan Skuad Prihatin Perkeso dan menerima gantian pendapatan menerusi Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit.
“Di Perak pula, seorang pekerja syarikat kereta terpakai, Chen Chee Ling, 51, menerima perlindungan selepas patah pergelangan tangan kanan akibat tergelincir di sebuah kedai makan ketika bersama keluarga,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua majikan dan pekerja supaya memastikan caruman Perkeso dipatuhi bagi menjamin perlindungan optimum, bukan sahaja ketika bekerja tetapi juga di luar waktu kerja.
Llindung 24 jam ialah penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial Perkeso yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025 bagi memperkukuh perlindungan sosial rakyat.
Di bawah penjenamaan itu, Akta 4 dikenali sebagai Lindung Pekerja, Akta 800 sebagai Lindung Kerjaya, Akta 789 sebagai Lindung Kendiri dan Akta 838 sebagai Lindung Kasih.
“Sama ada ketika bersukan, beriadah, bercuti mahupun menjalani aktiviti harian, kemalangan boleh mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata dan caruman inilah yang akan membantu kelangsungan hidup mereka,” katanya. – UTUSAN










