PASIR MAS: Taktik sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di kawasan hutan sebelum dibawa destinasi berikutnya oleh sindiket penyeludupan migran gagal apabila mereka diberkas dalam satu operasi di Kampung Tok Rusa, Meranti di sini semalam.
Kesemua warga Myanmar yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita dicekup pada pukul 2.30 petang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, mereka dipercayai memasuki negara ini menggunakan laluan yang tidak diwartakan.
“Siasatan awal mendapati lokasi tersebut dipercayai dijadikan tempat persinggahan sementara sebelum kumpulan terbabit dibawa ke destinasi yang telah ditetapkan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Mereka juga tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, sekali gus menyukarkan proses soal siasat dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, pada masa sama PGA turut merampas 11 telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM11,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN










