PETALING JAYA: Seramai 1.88 juta rakyat Malaysia menerima manfaat menerusi program MySalam dengan jumlah tuntutan dibayar sebanyak RM1.423 bilion sejak 2019 hingga 31 Disember tahun lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, termasuk pencapaian program berkenaan yang dikelola Kementerian Kewangan.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, program MySalam bermula pada 2019 dengan dana sebanyak RM2.37 bilion bagi menyediakan perlindungan kesihatan kepada golongan yang layak.
Katanya, penerima yang layak terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pasangan mereka sehingga usia 65 tahun.
Beliau berkata, program itu menyediakan tiga bentuk manfaat utama iaitu bayaran hospitalisasi RM50 sehari bagi tempoh maksimum 14 hari atau sehingga RM700 setahun.
“Selain itu, penerima turut layak mendapat bantuan sehingga RM8,000 secara sekali bayar sekiranya menghidap mana-mana daripada 50 penyakit kritikal yang disenaraikan.
“MySalam turut menyediakan tuntutan kos peranti perubatan maksimum sehingga RM30,000,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bagi manfaat hospitalisasi, seramai 1.294 juta penerima menerima bantuan dengan jumlah bayaran sebanyak RM394.87 juta.
Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan program MySalam terus memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan sokongan kewangan apabila berdepan masalah kesihatan.
“Bagi penyakit kritikal, seramai 89,085 penerima telah mendapat manfaat dengan jumlah sebanyak RM712.68 juta.
“Bagi peranti perubatan pula, seramai 13,128 penerima menerima manfaat berjumlah RM65.257 juta,” katanya. – UTUSAN










