PETALING JAYA: Kembali membawakan watak hero menerusi drama Dendam Seorang Mentua, pelakon dan penyanyi, Yusry Abdul Halim mencuri perhatian ramai sehingga namanya hangat diperkatakan dalam media sosial.
Menerusi karakter Datuk Muzaffar, Yusry, 52, dipuji peminat kerana masih memiliki aura dan karisma lelaki Melayu seperti pada zaman kemuncaknya sekitar awal 2000-an.
Malah, di aplikasi Threads, peminat turut berkongsi pelbagai video suntingan peminat (fan-made) memaparkan babak Datuk Muzaffar sepanjang drama yang sudah memasuki episode 10 dengan kapsyen berbunyi, ‘Saya tengok drama sebab plot, tapi plot itu adalah Yusry’.
Seakan menyedari dirinya menjadi topik hangat netizen, anggota kumpulan KRU itu sempat menyapa peminat menerusi satu hantaran ringkas.
“Salam, dengar cerita Threads meriah sekarang. Betulkah?” tulisnya berseloroh.
Hantaran tersebut menerima lebih 43,000 tanda suka selain hampir 3,000 komen daripada peminat yang rata-ratanya memuji penampilannya dalam drama berkenaan.
“Meriah sejak adegan perkahwinan Datuk Muzaffar dengan Sofia. Tidak dinafikan, hero paling elok setakat ini sampai terpelanting pelakon lelaki lain,” tulis seorang pengguna.
Penyanyi dan pengacara, Alif Satar turut mengusik Yusry dengan meninggalkan komen ringkas berbunyi, “Ulalalaaa.”
- “Kalau Yusry sudah masuk Threads, yang lain boleh ketepi. Gergasi sudah kembali,” tulis peminat lain.
Drama 50 episod Dendam Seorang Mentua mengisahkan penderitaan Sofia lakonan Tracie Sinidol yang dikhianati apabila kekasihnya menjalinkan hubungan cinta dengan sahabat baiknya sendiri. Demi membalas dendam, Sofia kemudian berkahwin dengan Datuk Muzaffar yang merupakan bapa kepada bekas kekasihnya itu. – UTUSAN










