Wanita hilang di Gunung Batu Putih pendaki berpengalaman - Utusan Malaysia

Wanita hilang di Gunung Batu Putih pendaki berpengalaman

PENOLONG Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad (tengah) berbincang bersama pihak Jabatan Perhutanan dalam operasi mencari dan menyelamat pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini semalam, merupakan seorang pendaki berpengalaman dengan lebih 10 tahun penglibatan dalam aktiviti lasak itu.

Menurut Haszman Othman, 61, isterinya, Jaslinda Saludin, 49, sememangnya meminati aktiviti mencabar itu, malah difahamkan akan kembali mendaki gunung berkenaan pada hujung bulan ini.

“Isteri memang sukakan aktiviti yang mencabar kemampuannya. Lagipun dia memang berpengalaman mendaki, sekurang-kurangnya 10 tahun.

“Malah, berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan dia akan mendaki gunung ini lagi pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Woh di sini hari ini.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, Jaslinda bertolak dari kediaman mereka di Damansara, Selangor pada Jumaat lalu.

Katanya, wanita itu menyertai aktiviti pendakian tersebut bersama-sama dua orang rakannya.

“Dua rakan isteri telah selamat turun dan pulang ke rumah masing-masing. Saya terkilan apabila isteri masih belum ditemui dan operasi mencarinya giat dijalankan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pendaki wanita dilaporkan hilang manakala seorang pendaki lelaki, Mohd. Hanafi Neikmad, 41, pula mengalami sesak nafas dan muntah darah ketika ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih.

Kedua-dua mereka antara 14 peserta bersama dua Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafis dan Aizat yang memulakan pendakian melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh pada pukul 2 pagi pada Sabtu lalu.

Mohd. Hanafi yang ditemani seorang malim gunung di Kem Batu Core berjaya dibawa turun dari kawasan gunung menggunakan pesawat bomba pada pukul 3 petang tadi.

Jaslinda yang pada mulanya turut bersama mereka gagal dikesan selepas dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN