KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan ditahan pada hari terakhir Festival Muzik Air Rain Rave 2026 di sini, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penahanan wanita berusia 28 tahun itu dibuat selepas suspek didapati memiliki pisau.
“Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut dan sebelum kita (polis) mendapatkan perintah kebenaran reman esok (hari ini).
“Kita sedang mendalami tujuannya membawa pisau itu,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Katanya, tiga tangkapan turut dibuat terhadap individu mencurigakan sebagai langkah pencegahan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, sepanjang tiga hari festival berlangsung.
“Secara keseluruhan apa yang boleh saya rumuskan bahawa program ini berlangsung dalam keadaan yang terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Fadil berkata, seramai 500 pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawasi program itu setiap malam membabitkan Kontinjen Kuala Lumpur, selain dibantu Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Jumlah penugasan ini adalah jumlah yang agak besar bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN









