KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita yang dipercayai membawa senjata berupa pisau semasa hari penutup Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, malam tadi.
Difahamkan, suspek berusia 28 tahun itu merupakan pemegang kad rawatan psikiatri dan dikesan oleh orang awam dalam keadaan memegang pisau sebelum ditahan pihak polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek hari ini.
“Seorang wanita telah ditahan kerana memiliki pisau.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi proses permohonan reman. Secara keseluruhannya, keadaan adalah terkawal,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, awal pagi tadi.
Terdahulu, tular satu video yang menunjukkan beberapa orang awam di festival berkenaan cuba merampas pisau yang dipegang wanita tersebut sebelum polis bertindak menahannya.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, festival sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu berlangsung lancar tanpa sebarang gangguan besar termasuk kesesakan lalu lintas.
Katanya, pihak polis menghargai kerjasama orang ramai sepanjang festival berlangsung.
“Kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
“Walaupun kehadiran dianggarkan seramai 30,000 orang, keadaan kekal baik dan terkawal termasuk aliran trafik,” katanya. – UTUSAN










