PETALING JAYA: Pengawal atau warden trafik perlu diwajibkan di semua sekolah rendah bagi meningkatkan pemantauan dan tahap keselamatan kanak-kanak, selain memastikan risiko kemalangan jiwa dapat dikurangkan.
Peranan petugas itu bukan sahaja membantu murid-murid berusia bawah 12 tahun melintas jalan dengan selamat, pada masa sama memastikan kelancaran aliran trafik di hadapan sekolah.
Di Malaysia, warden trafik tidak diwajibkan secara khusus oleh undang-undang, namun ia sangat digalakkan oleh kerajaan dengan kebiasaannya peranan itu digalas oleh pengawal keselamatan sekolah.
Berbeza di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan Jepun, malah negara jiran, Singapura telah mewajibkan penggunaan warden trafik untuk sekolah-sekolah rendah yang berada di kawasan berisiko.
Pakar keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mewajibkan warden trafik terutama di sekolah rendah bagi memastikan murid-murid pergi dan pulang dengan selamat.
Teik Hua berkata, sekiranya Kementerian Pendidikan (KPM) berdepan isu peruntukan untuk mewajibkan warden trafik, maka Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah boleh memainkan peranan.
“Yuran PIBG boleh disalurkan untuk mengambil warden trafik atau ibu bapa yang mempunyai kelapangan diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas tersebut,” katanya.
“Memang kita tidak boleh menyerahkan keselamatan kanak-kanak itu sepenuhnya kepada warden trafik kerana mereka seorang diri tetapi ia perlu diwajibkan sebagai usaha kita mengurangkan kemalangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan maut dirempuh sebuah van di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Johor.
Mangsa, Nur Aini Umairah Mohd. Fareez, 8, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, semua sekolah di negara ini perlu membuat audit risiko keselamatan.
Beliau berkata, perkara itu penting supaya pihak pengurusan sekolah dapat mengenal pasti kawasan-kawasan atau perkara yang mendatangkan risiko kepada murid dan guru.
“Saya rasa itu yang perlu dilakukan kerana setiap sekolah mempunyai risiko keselamatan yang berbeza, ada sekolah yang banyak tingkat, ada sekolah berhadapan dengan trafik tinggi dan jalan raya yang sesak.
“Jadi, audit keselamatan sekolah itu perlu dilakukan meliputi semua perkara iaitu keselamatan jalan raya, bangunan, keselamatan kemudahan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, sekolah juga perlu bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran semasa melakukan audit.
“Kita bukan sahaja mahu kenal pasti risiko di luar sekolah tetapi juga dalam kawasan sekolah. Kita tidak mahu ada risiko pelajar terjatuh lubang dan sebagainya. Jadi, kepakaran itu untuk mengenal pasti risiko dan mengemukakan penyelesaian demi keselamatan kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, KPM sedang memuktamadkan garis panduan baharu dengan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan bagi memperkukuh aspek keselamatan di sekolah.
KPM menggesa semua sekolah di bawah seliaannya mematuhi Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan pandangan pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam usaha menambah baik tatacara keselamatan, khususnya melibatkan penggunaan kenderaan di kawasan sekolah.
“Kementerian komited memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan kondusif kepada semua warga pendidikan,” katanya. – UTUSAN










