PETALING JAYA: Keuntungan bersih Sime Darby Berhad (Sime) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM654 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM193 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Prestasi luar biasa itu dipacu terutamanya oleh keuntungan secara sekali sahaja (one-off) berjumlah RM434 juta daripada pelupusan tanah Malaysia Vision Valley (MVV).
Syarikat gergasi konglomerat itu berkata, sekiranya keuntungan one-off tersebut tidak diambil kira, untung bersih teras kumpulan bagi suku dikaji masih mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 55.6 peratus kepada RM263 juta, bersandarkan hasil yang mencecah RM15.8 bilion.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 pula, untung bersih terkumpul kumpulan meningkat 10.9 peratus kepada RM1.44 bilion daripada RM1.30 bilion setahun lepas, manakala hasil terkumpul naik kepada RM52.8 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, keputusan suku tersebut mencerminkan daya tahan berterusan portfolio perniagaan syarikat meskipun terpaksa mengharungi persekitaran operasi global yang semakin mencabar.
“Perniagaan teras peralatan perindustrian dan automotif kami tetap teguh walaupun menghadapi tekanan pasaran yang berterusan. Amalan pengurusan kos yang berdisiplin membolehkan syarikat kekal utuh sekalipun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.
“Malah, seiring prestasi kewangan ini, kami komited untuk mengukuhkan ekosistem operasi demi menyokong agenda GEAR-Up negara termasuk membangunkan bakat tempatan, menyokong pembekal domestik, serta membina perusahaan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.
Meneliti prestasi mengikut segmen perniagaan bagi suku ketiga, bahagian Perindustrian mencatatkan untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) lebih tinggi sebanyak RM245 juta, meningkat 10.9 peratus dipacu oleh margin peralatan dan sokongan produk yang lebih tinggi di Australia.
Bahagian Automotif pula melaporkan peningkatan PBIT sebanyak 25.4 peratus kepada RM143 juta, didorong terutamanya oleh pertumbuhan jualan kenderaan elektrik (EV) di Singapura serta kecekapan operasi di Hong Kong.
Sementara itu, bahagian yang baru diambil alih, UMW, menyumbang PBIT sebanyak RM196 juta, meningkat sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan prestasi operasi pelincir yang lebih memberangsangkan hasil pelarasan inventori. –UTUSAN










