KUALA LUMPUR: Penyakit kardiovaskular kekal sebagai antara punca utama kematian di Malaysia, dengan obesiti muncul sebagai pemacu terbesar kepada masalah kesihatan itu.
Dianggarkan hampir 2.5 juta rakyat Malaysia kini hidup dengan sekurang-kurangnya tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) serentak seperti obesiti, diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi, sekali gus meningkatkan risiko penyakit jantung dengan ketara.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi Cardiac Vascular Sentral, Dr. Al-Fazir Omar, obesiti dan penyakit jantung mempunyai hubungan yang sangat rapat.
“Obesiti bukan sekadar isu penampilan atau berat badan. Ia adalah keadaan perubatan yang kompleks yang memberi kesan langsung kepada organ, termasuk jantung,” katanya.
Jelasnya, lebihan lemak dalam badan boleh mencetuskan pelbagai masalah seperti tekanan darah tinggi, peningkatan kolesterol serta rintangan insulin yang semuanya memberi beban kepada jantung.
Katanya, keadaan ini seterusnya meningkatkan risiko berlakunya penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, strok dan kegagalan jantung.
“Apabila seseorang mengalami obesiti, badan akan mengalami inflamasi atau keradangan yang berpanjangan. Ini menyebabkan saluran darah rosak dan akhirnya tersumbat,” jelas beliau.
Dr. Al-Fazir berkata, obesiti juga berkait rapat dengan beberapa komorbiditi kardiovaskular utama seperti hipertensi, diabetes jenis 2, dislipidemia dan aterosklerosis.
“Semua ini saling berkait dan mempercepatkan proses penyakit jantung. Sebab itu penting untuk kita tangani obesiti lebih awal sebelum komplikasi berlaku,” katanya.
Tegasnya, obesiti bukanlah sekadar akibat makan berlebihan atau kurang bersenam, sebaliknya dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk genetik, hormon, persekitaran dan tingkah laku.
“Ramai yang salah faham bahawa obesiti adalah pilihan. Hakikatnya, ia melibatkan banyak faktor yang kompleks dan tidak semudah yang disangka,” jelasnya.
Menurutnya, jika obesiti tidak dirawat, ia boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik termasuk hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi, penyakit arteri koronari dan kegagalan jantung.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh Cambridge University Press, individu dengan lilitan pinggang tertinggi mempunyai risiko penyakit kardiovaskular 43 peratus lebih tinggi berbanding kategori terendah, manakala setiap peningkatan 10 sentimeter meningkatkan risiko sekitar 4.0 peratus bagi lelaki dan 3.4 peratus bagi wanita.
“Seperti mana kita merawat tekanan darah tinggi atau diabetes, obesiti juga perlu dianggap sebagai penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan,” katanya.
Dr. Al-Fazir turut menegaskan bahawa pendekatan rawatan obesiti kini semakin berkembang dengan adanya rawatan berasaskan sains dan teknologi.
Katanya, rawatan yang tepat dan bersesuaian dengan setiap individu adalah kunci kepada pengurusan berat badan dan kesihatan jantung yang lebih baik.
“Dengan pendekatan moden, obesiti kini boleh ditangani dengan lebih berkesan, menggunakan diet dan senaman sebagai elemen tambahan kepada pendekatan rawatan yang lebih komprehensif.
Antara rawatan moden yang semakin mendapat perhatian ialah terapi GLP-1, yang berfungsi mengawal selera makan dan mengurangkan keinginan terhadap makanan.
Menurutnya, terapi GLP-1 juga boleh membantu mengurangkan “food noise” iaitu gangguan pemikiran berterusan tentang makanan yang sering dihadapi oleh individu dengan obesiti.
“Food noise bukan sekadar rasa lapar, tetapi gangguan mental dan hormonal yang menyebabkan seseorang sentiasa berfikir tentang makanan,” jelasnya.
Beliau berkata, dengan mengurangkan food noise, pesakit lebih mudah mengawal pemakanan dan membuat pilihan makanan yang lebih sihat secara konsisten.
“Ini membantu mereka makan dalam kuantiti yang lebih terkawal dan secara tidak langsung menyokong penurunan berat badan,” katanya.
Dr. Al-Fazir menjelaskan, GLP-1 juga memberi manfaat kepada kestabilan metabolik, pengurangan inflamasi serta penambahbaikan penanda kesihatan kardiovaskular.
“Apabila berat badan berkurang, kita juga melihat penurunan tekanan darah, kawalan gula lebih baik dan tahap kolesterol yang lebih stabil,” katanya.
Menurutnya, pendekatan rawatan moden lebih bersifat menyeluruh dan disesuaikan mengikut keperluan pesakit, sekali gus menjadikannya lebih berkesan.
Tambahnya, rawatan terbaik adalah gabungan antara intervensi perubatan dan perubahan gaya hidup. Katanya, intervensi awal memainkan peranan dalam mencegah komplikasi serius.
Dr. Al-Fazir turut menekankan perubahan kecil dalam gaya hidup mampu memberi impak besar.
“Langkah kecil seperti mengurangkan makanan berkalori tinggi, bersenam secara konsisten dan mengawal berat badan mampu melindungi jantung dalam jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, penurunan berat badan yang konsisten dan berperingkat adalah lebih baik berbanding perubahan drastik yang sukar dikekalkan. – UTUSAN










