Pusat koordinasi tentera AS di Gaza bakal ditutup?

Pusat koordinasi tentera AS di Gaza bakal ditutup?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Satu badan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Gaza yang dikritik kerana gagal dalam misinya untuk memantau gencatan senjata Israel–Hamas dan meningkatkan aliran bantuan kepada rakyat Palestin yang terkepung dilaporkan akan ditutup oleh pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Lapor Reuters, penutupan Pusat Koordinasi Awam-Tentera (CMCC) di Israel itu akan menjadi satu lagi tamparan kepada pelan Gaza Trump, yang sudah pun terjejas akibat serangan berulang Israel sejak gencatan senjata Oktober serta keengganan Hamas untuk meletakkan senjata.

Diplomat berkata, langkah itu yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini dan dijangka menambah kebimbangan sekutu Washington yang sebelum ini digalakkan oleh Trump sendiri untuk menghantar kakitangan ke CMCC serta membiayai pelan pembinaan semula Gaza, yang kini hampir terhenti sejak AS melancarkan perang bersama Israel terhadap Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut sumber, termasuk tujuh diplomat yang mengetahui operasi CMCC, tanggungjawab bantuan dan pemantauan badan itu akan dipindahkan kepada misi keselamatan antarabangsa diketuai AS yang sepatutnya dikerahkan ke Gaza.

Pegawai AS secara dalaman menyifatkan langkah itu sebagai satu rombakan, namun diplomat berkata, Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sebenarnya akan mengambil alih tanggungjawab tersebut, sekali gus menamatkan peranan CMCC.

Seorang diplomat yang dimaklumkan mengenai pelan AS itu berkata, jumlah tentera AS di ISF yang diperbaharui akan dikurangkan kepada 40 orang daripada sekitar 190 anggota. AS juga akan cuba menggantikan sebahagian tentera itu dengan kakitangan awam dari negara lain.

Diplomat berkata, CMCC tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan gencatan senjata atau memastikan penghantaran bantuan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada penggabungan ke dalam ISF akan memberi kesan praktikal di lapangan.

Lembaga Keamanan dalam satu kenyataan di media sosial selepas laporan Reuters itu diterbitkan menafikan CMCC akan ditutup, namun tidak menjawab sama ada ISF akan mengambil alih tanggungjawabnya.

Sebelum itu, seorang pegawai daripada lembaga tersebut yang ditubuhkan untuk menyelia dasar Gaza, enggan mengulas mengenai masa depan CMCC tetapi berkata, pusat itu memainkan peranan penting dalam memastikan penghantaran bantuan dan menyelaras usaha serta memajukan pelan Trump.

Selepas CMCC digabungkan ke dalam ISF, badan itu dijangka dinamakan semula sebagai Pusat Sokongan Gaza Antarabangsa, kata dua sumber.

Ia mungkin akan diketuai oleh Mejar Jeneral AS, Jasper Jeffers, komander ISF yang dilantik Rumah Putih.

ISF sepatutnya dikerahkan segera ke Gaza untuk mengawal situasi dan mengekalkan keselamatan. 

Namun ia masih belum berlaku, dengan hanya beberapa negara setakat ini menyatakan komitmen menghantar tentera dan tiada yang bersetuju memainkan peranan keselamatan. Washington menyatakan tentera AS tidak akan dihantar ke Gaza.

ISF bagaimanapun menubuhkan kawasan berpagar di dalam CMCC, yang beroperasi dari sebuah gudang di selatan Israel, tetapi akses ke kawasan itu dikawal ketat oleh tentera AS yang menurut tiga sumber sering menghalang kemasukan wakil negara sekutu.

Penubuhan CMCC merupakan elemen utama dalam pelan 20 perkara Trump untuk Gaza, selepas gencatan senjata yang bertujuan menghentikan pertempuran Israel–Hamas dan membolehkan pembinaan semula wilayah yang musnah akibat dua tahun peperangan.

Puluhan negara termasuk Jerman, Perancis, Britain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar kakitangan termasuk perancang ketenteraan dan pegawai risikan ke pusat itu bagi mempengaruhi perbincangan mengenai masa depan Gaza.

Namun dengan Israel terus melancarkan serangan dan memajukan garis gencatan senjata lebih dalam ke Gaza, diplomat berkata, momentum CMCC semakin merosot dengan Hamas juga kembali mentadbir sebahagian kawasan pantai Gaza yang berada di bawah kawalannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini