MUKADIMAH
Keputusan unilateral (sepihak) Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) yang dibangunkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) kepada Malaysia memberi kesan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Skuadron Frigat Ke-23 TLDM yang telah usang.
Bekas Panglima Angkatan Tentera Ke-15, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor menegaskan bahawa tindakan unilateral Kerajaan Norway itu bukan salah mana-mana pihak khususnya Kerajaan Malaysia, Kementerian Pertahanan (Mindef) mahu pun TLDM.
Dalam wawancara khas Bersama wartawan Utusan Malaysia, Fitri Nizam dibantu oleh jurufoto, Fariz Rusadio, Mohd. Anwar berpandangan keputusan Kerajaan Norway itu di luar kawalan Malaysia sedangkan segala tuntutan kontrak telah dipenuhi.
Justeru, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu mencadangkan beberapa penambahbaikan perolehan aset strategik ketenteraan termasuklah penglibatan rundingan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan penilaian risiko.

Utusan: Pandangan Tan Sri, adakah keputusan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu NSM menimbulkan persoalan kebolehpercayaan pengaturan perolehan pertahanan melibatkan kerajaan dan syarikat luar?
Tan Sri: Kita sudah lihat mengikut sejarah pembelian perolehan pertahanan dari luar negara. TLDM telah membeli kapal-kapal dari luar negara yang dipasangkan dengan peluru berpandu strategik. Contoh, kita membuat pembelian dari Perancis, ini kali pertama peluru berpandu dimasukkan dalam servis TLDM, iaitu pada tahun 1972, dengan pembelian empat buah kapal ‘fast attack craft’ (berasaskan reka bentuk La Combattante II).
Kedua, kita membeli dua buah kapal corvette dari Jerman. Selepas itu kita buat kapal kebanyakannya dari Sweden, empat buah kapal, semuanya dilengkapi dengan peluru berpandu jenis Exocet MM38. Bermakna, kita tidak ada masalah yang sekarang ini menjadi satu isu besar untuk TLDM, di mana pada peringkat terakhir, apabila kita patut menerima NSM, daripada KDA, tetapi lesen eksport tidak dilulus oleh Kerajaan Norway.
Sejauh mana keputusan Kerajaan Norway itu telah mengganggu perancangan jangka panjang pemodenan aset pertahanan negara, khususnya keperluan operasi TLDM?
Sudah semestinya dengan keputusan membatalkan lesen eksport oleh Kerajaan Norway, di mana kapal-kapal LCS ini tidak akan menerima sistem peluru berpandu NSM sebagai senjata utama, sekali gus akan menurunkan keupayaan yang kita inginkan dalam kapal LCS. Ia serta-merta menurun ke peringkat yang langsung tidak ada peluru berpandu jarak jauh. Jadi, kapal-kapal itu akan terkesan dengan ketidakupayaan kerana tidak memiliki peluru berpandu.
Memandangkan program LCS dirancang berdasarkan integrasi sistem persenjataan tertentu, apakah cabaran teknikal, kos tambahan dan kelewatan yang mungkin timbul akibat keperluan mencari sistem peluru berpandu alternatif?
Ini adalah satu keadaan di mana TLDM harus membuat kajian dengan cepat untuk melihat apakah sistem peluru berpandu alternatif yang boleh kita dapatkan dalam masa terdekat kerana kapal-kapal ini sudah mula untuk disiapkan secara peringkat. Kapal (LCS) pertama, KD Maharaja Lela telah pun melaksanakan sea trial sekarang ini.
Jadi, kalau kita tidak menubuhkan pasukan khas yang dengan pantas untuk membuat evaluasi sistem peluru berpandu alternatif, bermakna keupayaan itu akan lagi lambat. Mungkin TLDM telah pun melihat perkara ini, mereka ada apa yang dipanggil fallback position iaitu melihat apakah sistem alternatif yang boleh diwujudkan dengan pantas kerana bukan LCS saja terbabit, Skuadron Frigat Ke-23 iaitu KD Jebat dan KD Lekiu juga terkesan dengan keputusan Kerajaan Norway.
Apa yang kita belajar daripada pengalaman dengan Norway ini?
Saya fikir mesej itu sekarang jelas dan nyata bahawa apabila membuat perjanjian dengan apa saja negara asing membabitkan perolehan pertahanan terutama peluru berpandu strategik dan (perolehan) sensitif, kita harus melihat kepada risiko negara ini tidak meluluskan lesen eksport. Risiko itu yang harus kita masukkan dalam semua percaturan perolehan pertahanan.
Jika kita tak masukkan bermakna kita sudah tahu negara itu akan mengeluarkan lesen eksport. Jadi, tidak ada masalah seperti Kerajaan Norway sekarang.
Senarionya, kita tidak ada masalah dengan syarikat pengeluar iaitu syarikat KDA, perjanjian dan pembayaran sudah dibuat, tetapi sebab apa kita tak dapat lesen eksport.
Itu yang mengekangkan kita daripada menerima sistem peluru berpandu NSM kerana syarikat KDA tidak boleh mengeksport sistem itu tanpa kelulusan daripada Kerajaan Norway.
Jadi, jika kita hendak pastikan risiko ini boleh diminimumkan kita harus anuti sistem G2G. Bermakna kita sudah dapat jaminan kerajaan negara pengeluar sistem pertahanan tersebut.
Adakah kes pembatalan lesen eksport oleh negara pengeluar ini berlaku kepada Malaysia sahaja?
Jika kita lihat ke belakang berdasarkan pengalaman lalu, bukan Malaysia sahaja. Keadaan sama pernah berlaku kepada negara-negara lain yang membeli aset pertahanan daripada negara-negara Eropah terutamanya.
Mereka juga pernah melaksanakan embargo apabila berlaku (insiden seperti) peperangan ke (atau) apa-apa saja yang mereka tidak setuju mengikut polisi negara itu. Sweden pun pernah, mereka tahan eksport senjata api kepada negara yang ketika itu sedang berperang dan mereka tidak bersetuju (dengan peperangan itu).
Contoh lain, Russia juga pernah hendak membeli helikopter dari Perancis iaitu Mistral, sudah lulus tapi embargo kemudiannya Perancis kata tak boleh jual jadi mereka bayar balik duit kepada Russia.
Kita juga pernah beli empat buah kapal dari Itali (1990-an), Kelas Laksamana yang patut dijual kepada Iraq, tetapi embargo disebabkan Itali tak luluskan lesen eksport kerana Iraq perang dengan Amerika Syarikat (AS). Apa jadi? Kerajaan Malaysia kata ada peluang kapal sudah siap, kita beli.
Apa jaminan perolehan pertahanan dapat diselesaikan dengan kaedah G2G?
Jaminan G2G ini jika kita ada (perjanjian) antara negara dengan negara selalunya mereka akan akur membuat penghantaran. Jadi, pembelian perolehan pertahanan secara G2G ini adalah satu-satunya (kaedah) harus kita ambil berat ataupun masukkan dalam kontrak.
Adakah kaedah G2G ini merupakan syarat wajib perolehan pertahanan?
Sekarang ni tak ada syarat wajib. Jadi, saya sarankan harus diwajibkanlah berdasarkan pelajaran yang sedang dialami iaitu kemelut antara Norway dan Malaysia.
Apa tindakan yang boleh Malaysia ambil terhadap Norway dan KDA atas keputusan membatalkan lesen eksport ini?
Malaysia boleh menghantar (nota) diplomatik supaya mereka menjawab kenapa (keputusan membatalkan lesen eksport dibuat). (Tetapi) kita tak boleh hendak mencabar keputusan itu ke mahkamah. Bagaimanapun kita boleh membuat tuntutan kepada KDA. Cara tuntutan itu terpulang kepada Kementerian Pertahanan sama ada mereka hendak menuntut melalui kuasa-kuasa timbang tara, boleh. Ada organisasi iaitu ICC (Mahkamah Timbang Tara
Antarabangsa). Apabila kita membawanya kepada ICC , mereka akan meneliti tuntutan yang dibuat. Itu terpulang kepada Kementerian Pertahanan macam mana, mereka lebih arif dan waras untuk melihat bagaimana hendak ajukan tuntutan itu.
Pandangan Tan Sri, adakah negara pengeksport perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan perubahan dasar domestik mereka tidak menjejaskan komitmen yang telah dibuat kepada rakan strategik antarabangsa?
Ya, saya kata kita tidak boleh kawal negara pengeksport. Ini yang perlu dimasukkan dalam (penilaian risiko) iaitu dalam kawalan dan di luar kawalan. (Dalam kes ini) Kedaulatan negara itu di luar kawalan kita. Jadi, kita harus masukkan faktor-faktor ini dalam penilaian risiko, kerana dia (kerajaan) adalah pembuat polisi, lesen eksport di bawah (kuasa) kerajaan. Sistem strategik, sensitif seperti sistem peluru berpandu dibuat oleh KDA, kita kena jelas dengan kedua-dua perbezaan ini.
Jadi Tan Sri, apa pilihan yang Malaysia ada untuk melindungi kepentingan strategik apabila negara pembekal pertahanan mengubah pendirian?
Kita kena mempercepatkanlah kita punya keputusan strategik untuk mencari alternatif. Itu saya fikir TLDM akan melaksanakan proses penilaian apakah sistem-sistem yang dengan cara terpantas boleh diterima oleh TLDM untuk melengkapkan sistem peluru berpandu kepada LCS dan juga Skuadron Frigat Ke-23. Itu diserahkan Panglima Tentera Laut dan pasukan mereka untuk membuat keputusan dan mencadangkan kepada Kementerian Pertahanan.
Apakah Malaysia perlu mempelbagaikan kerjasama pertahanan dengan negara-negara yang lebih konsisten untuk komitmen jangka panjang?
Kita kena kaji semula, bandingkan, lakukan penilaian risiko terhadap negara-negara yang hendak kita runding. Kita kena buat satu lagi langkah ini khususnya dalam membeli sistem peluru berpandu, sistem sensitif kerana risikonya tinggi, termasuklah membabitkan kelulusan lesen eksport. Ia mesti dimasukkan sebagai langkah penting untuk semua pembelian pada masa akan datang.
Apa lagi yang perlu kita perbaiki supaya kejadian sama tidak berulang lagi di masa akan datang?
Pertama saya cadangkanlah untuk kita masukkan penilaian risiko itu. Keduanya, jangan lagi berunding terus dengan syarikat pengeluar tetapi adakan G2G. Semua perkara akan melalui kerajaan dengan kerajaan. Kena pastikan kerajaan mereka boleh keluarkan lesen eksport barulah buat rundingan dengan syarikat pengeluar. Pastikan lesen eksport diluluskan terlebih dahulu.
Adakah insiden ini menyerlahkan risiko kebergantungan yang terlalu besar kepada satu negara atau satu pembekal bagi keupayaan pertahanan yang kritikal?
Kita harus lebih terbuka tapi kalau dalam keterbukaan itu kita harus masukkan penilaian risiko kerana dengan cara itulah kita boleh berikan poin merit (bagi menentukan) negara inilah boleh kita beri kepercayaan yang lebih, negara inilah konsisten membuat penghantaran tanpa ragu-ragu.
Jadi kita kena ada senarai akhir sebelum membuat rundingan dengan negara-negara itu. Seperti saya kata sebelum ini, jika kita dapat kelulusan (lesen eksport) melalui G2G, itu satu jaminan yang tinggi, jika sudah lakukan perjanjian G2G itu susah untuk mereka menarik balik, bermakna mereka komited untuk menghantar perolehan pertahanan itu kepada kita.
Tan Sri ada mencadangkan supaya perolehan pertahanan dibuat secara G2G, apakah ada perjanjian dibuat melalui kaedah itu sebelum ini?
(Perolehan sistem perluru berpandu) Exocet MM38 dibuat melalui G2G, kita bawa balik 60 butir, negara Asia Tenggara yang pertama menggunakan Exocet MM38 adalah Malaysia.
G2G ini rundingan antara kerajaan dengan kerajaan untuk peroleh lesen eksport, jika ia diluluskan, materikan melalui perjanjian kemudian barulah buat rundingan mengenai perolehan sistem.
Tetapi Tan Sri, adakah salah jika Malaysia runding secara terus dengan syarikat pengeluar?
Tak Salah, ia amalan juga, tetapi selepas rundingan pembelian dibuat, mereka (syarikat pengeluar) akan mendapatkan lesen eksport daripada negaranya, selalunya negara akan sokong industri pertahanan sendiri. Dulu-dulu pun pernah buat juga (runding terus) tapi mereka hantar, tetapi ada negara-negara yang mempunyai polisi tersendiri (terhadap pelbagai faktor), itu yang berisiko. Saya tidak akan salahkan sesiapa di pihak Malaysia, semua telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik.
Apa pengajaran kepada Malaysia dalam isu perolehan pertahanan NSM ini?
Pelajarannya adalah kita mesti mendapatkan kelulusan lesen eksport terlebih dahulu. Materikan perjanjian G2G untuk luluskan lesen eksport, kemudian baru bincangkan perolehan pertahanan dengan syarikat pengeluar. Kita kena tahu apa negara pengeluar itu punya polisi terlebih dahulu sebelum mencadangkan pembelian sesuatu sistem untuk dipasang pada platform perang kita.
Pandangan Tan Sri terhadap jumlah tuntutan Malaysia RM1 bilion kepada KDA, adakah ia dapat menampung implikasi ditanggung negara?
Kita boleh tuntut tiada masalah, kita tuntut kepada syarikat, ia wajar. Ada negara mereka tidak hanya tuntut apa yang sudah dibayar tetapi mereka masukkan tuntutan lain menyekat keupayaan sedangkan kapal sudah hampir siap. Kementerian Pertahanan lebih tahu jumlahnya. Mereka sudah membuat pengiraan sebelum membuat tuntutan. Apa yang penting, kita tidak boleh duduk diam, harus tuntut. Kita juga hendak menunjukkan kita serius menjaga kedaulatan dan maruah kita.
Apakah sudah tiba masanya Malaysia membangunkan industri misil sendiri tanpa bergantung kepada pihak luar?
Saya percaya kita boleh, kalau tanya industri pertahanan tempatan kita boleh buat macam-macam apa yang diperlukan, semua ada dalam negara ini kalau orang-orang industri dikumpulkan, tetapi kita mesti serius, lihat India, Pakistan, Türkiye.
Kenapa mereka boleh buat? Apa kelebihan orang Türkiye? Lihat di DSA (pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia) asal Türkiye saja semua dia buat di negara sendiri. Selagi tidak berdikari, kita akan ketinggalan. Singapura pun boleh kehadapan daripada kita, boleh bangunkan senjata. Kita pun boleh seperti kapal OPV (kapal ronda luar pesisir) dua dibeli dari Jerman, empat dibina di sini. Jika kita serius boleh saja, yang penting kurangkan kebergantungan (pada negara luar). – UTUSAN










