Tren tergelincir, operasi LRT laluan Ampang/Sri Petaling tergendala

Tren tergelincir, operasi LRT laluan Ampang/Sri Petaling tergendala

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan pagi ini susulan sebuah tren tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu telah menyebabkan tren tersebut tidak dapat bergerak sekali gus menjejaskan jadual perjalanan tren di laluan berkenaan.

Katanya, gambar insiden yang tular di media sosial adalah sahih dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi kejadian.

“Semasa kejadian berlaku, seramai 25 orang penumpang berada di dalam tren terbabit. Penumpang-penumpang tersebut telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi dan tiada kecederaan dilaporkan. 

“Keselamatan penumpang dan petugas adalah menjadi keutamaan dan pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi,” katanya.

Menurut Rapid KL, pelan perkhidmatan alternatif yang diumumkan sebelum ini masih kekal berkuatkuasa bagi memastikan kelangsungan perjalanan penumpang termasuk pengaktifan tren alternatif dan bas perantara percuma.

“Ia melibatkan tren perantara dari Sentul Timur akan berpatah balik di Pudu (kekerapan empat minit), tren perantara di antara Cheras dan Bandar Tasik Selatan (kekerapan lapan minit), tren perantara di antara Ampang dan Pandan Jaya (kekerapan lima minit) dan tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Bandar Tasik Selatan (kekerapan empat minit).

“Selain itu, bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan melibatkan beberapa stesen utama termasuk Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri, Pandan Jaya dan Cheras dengan kekerapan antara lima hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.

“Penumpang yang ingin menuju ke pusat bandar turut dinasihatkan menggunakan Laluan Putrajaya dengan membuat pertukaran tren di Stesen Sungai Besi,” katanya.

Rapid KL turut meminta semua penumpang mematuhi arahan petugas stesen sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan berlangsung.

“Pihak Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menasihatkan penumpang supaya terus merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN