GOMBAK: Ketiga-tiga mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 34 Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini awal pagi tadi disifatkan oleh rakan-rakan mereka sebagai individu yang sangat disenangi ramai.
Seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Ammar Al Harraz Mahathir, 24, berkata, dua mangsa yang maut iaitu Ameer Ashraf Khairul Annuar,24, dan Adli Hakim Akberdin, 24, sudah dianggap seperti keluarganya.
“Kalau hendak keluar makan atau berjalan, memang mereka akan ajak sama-sama. Kami macam satu keluarga.
“Ameer memang jenis yang suka ajak kawan keluar makan. Mereka juga aktif dengan kumpulan rakan-rakan yang minat kereta dan selalu bergerak bersama,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Hospital Selayang di sini.
Difahamkan, seorang lagi mangsa yang maut ialah sepupu kepada Ameer Ashraf iaitu Afiq Jamal Abdul Nasir, 26, manakala seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dikenali sebagai Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, dan sedang menerima rawatan di hospital sama.
Urusan pengebumian dijangka dilakukan selepas solat Asar dengan Adli Hakim dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, manakala jenazah Ameer Ashraf dan Afiq Jamal dikebumikan di Tanah Perkuburan Country Homes, Rawang.
Terdahulu media melaporkan tiga lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah selepas kereta dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori simen di KM34 Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.07 pagi. – UTUSAN










